SUBAHAN (tengah) memberi kata semangat kepada skuad hoki wanita. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
SUBAHAN (tengah) memberi kata semangat kepada skuad hoki wanita. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Saiful Affendy Sapran


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mahu merealisasikan kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun dalam usaha untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, cadangan itu timbul selepas menyaksikan tidak banyak kejohanan antarabangsa membabitkan pasukan wanita ketika ini.

“Harap kita dapat anjurkan kejohanan itu hujung tahun depan dengan cuba membawa pasukan utama dunia.

“Jika ia berlaku, maka ia membuka peluang kepada barisan pemain muda kita bermain pada tahap tertinggi sekali gus menjadikan mereka lebih baik apabila beraksi bersama skuad kebangsaan.

SUBAHAN pada sidang akhbar mesyuarat Agung Tahunan ke-64 MHC di Nexus Connextion Bangsar South. FOTO/OSMAN ADNAN
SUBAHAN pada sidang akhbar mesyuarat Agung Tahunan ke-64 MHC di Nexus Connextion Bangsar South. FOTO/OSMAN ADNAN

“Kita perlu memberi pendedahan kepada barisan pemain muda ini. Walaupun mungkin hasilnya tidaklah terlalu cepat, tetapi kita sudah pun mempunyai barisan pemain pelapis yang bagus,” katanya.

Jelas Subahan, sekiranya ia benar-benar menjadi kenyataan, beliau yakin prestasi skuad negara akan lebih meningkat dalam tempoh dua tahun daripada sekarang.

“Ketika ini kami dalam proses perbincangan dengan persatuan negeri. Harap kami akan mendapat jawapan yang positif,” katanya.

Skuad negara di bawah bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menunjukkan peningkatan sepanjang tahun ini termasuk layak kali pertama beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, Jun lalu.

Malaysian Tigress juga mengekalkan prestasi konsisten menamatkan saingan Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, baru-baru ini dengan menduduki tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 9:58 PM