SETIAP hari sebelum pergi kerja, Dr Mahamarowi akan merakamkan imej matahari di rumahnya di Pasir Mas.
SETIAP hari sebelum pergi kerja, Dr Mahamarowi akan merakamkan imej matahari di rumahnya di Pasir Mas.
DR Mahamarowi (dua dari kiri) memberi tunjuk ajar untuk berkongsi ilmu dalam bidang astronomi dengan pelajar Sekolah Menengah Agama Mahaad Amir Indra Petra, Bachok di halaman rumahnya.
DR Mahamarowi (dua dari kiri) memberi tunjuk ajar untuk berkongsi ilmu dalam bidang astronomi dengan pelajar Sekolah Menengah Agama Mahaad Amir Indra Petra, Bachok di halaman rumahnya.
DR Mahamarowi belanja RM400,000 wujudkan balai cerap mini di rumah.
DR Mahamarowi belanja RM400,000 wujudkan balai cerap mini di rumah.
DR Mahamarowi bersama kelengkapan antaranya kamera dan teleskop.
DR Mahamarowi bersama kelengkapan antaranya kamera dan teleskop.
Hazira Ahmad Zaidi


Beliau seorang pakar bius di sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan namun minat mendalam terhadap bidang astronomi dan mengkaji fenomena alam mendorongnya mewujudkan sebuah balai cerap mini di rumah di Pasir Mas.

Lengkap dengan binokular dan teleskop serta perkakas berteknologi tinggi lain, balkoni di tingkat atas rumah lelaki digelar jolokan ‘Pelekat Man’ kerana kecenderungannya memakai kain pelekat setiap kali melakukan pencerapan, sering menjadi tempat lepaknya apabila tidak bekerja.

Prof Dr Mahamarowi Omar, 55, puas melihat imej angkasa yang menjadi kegemarannya sejak berusia 15 tahun lagi, malah beliau membukukan semua maklumat diperoleh dalam bentuk dokumentasi formal.

Katanya, biar ilmu pengetahuan itu disebarkan kepada pencinta bidang astronomi lain, beliau juga tidak lokek untuk berkongsi balai cerap mininya dengan pelajar di seluruh Kelantan.

Terkenal dengan jolokan ‘Pelekat Man’ kerana kecenderungannya memakai kain pelekat setiap kali melakukan pencerapan, Dr Mahamarowi sudah membuka balai cerap mininya sejak 20 tahun lalu kepada pelajar sekolah.

“Lebih RM400,000 saya belanjakan untuk membeli semua kelengkapan ini dan sebaik lengkap, saya mula membuka balai cerap mini kepada umum.

“Saya pilih pelajar sekolah untuk berkongsi pengetahuan ini kerana mereka golongan terbaik yang boleh membentuk minat terhadap pengkajian alam semesta.

“Setiap dua minggu sekali akan ada beberapa pelajar di sekitar Kelantan bermalam di rumah saya untuk sama-sama mencerap bulan, melihat matahari dan bintang.

“Saya kagum kerana mereka sanggup datang, bermalam dan menghabiskan masa untuk aktiviti ini. Saya sendiri bersedia 24 jam untuk menjawab persoalan mereka berkaitan ilmu angkasa,” katanya.

Perbezaan jauh antara ilmu perubatan dan astronomi langsung tidak membataskan pergerakan Dr Mahamarowi, sebaliknya beliau memberitahu sudah sebati dengan kedua-duanya.

Justeru, katanya, tidak timbul konflik dalam dirinya untuk mahir dalam kedua-dua bidang terbabit.

Sering juga pakar ini menerima undangan pihak tertentu terutama sekolah untuk berkongsi ilmu astronomi dengan murid mahupun pelajar dan mengakui gembira apabila dapat melakukan demikian.

Beliau sudah menerbitkan dua buku yang dikarang sendiri iaitu Astronomi dan Astrofotografi (2014) dan Matahari, Bintang Istimewa (2015), manakala buku Aurora-Cahaya Yang Menakjubkan masih dalam proses pembikinan.

Bagi mengembangkan bidang itu di Kelantan, Dr Mahamarowi berharap kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan balai cerap negeri kerana mengakui ada ramai peminat astronomi di negeri itu.

“Kewujudan balai cerap akan mempercepatkan transformasi ilmu astronomi khususnya di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Amir Indera Petra, Bachok, Mohd Fahmi Mohamed, 14, kagum dan berasa seperti berada di Planetarium Negara apabila memasuki balai cerap mini milik Dr Mahamarowi.

Dia memilih berkunjung ke rumah pakar bius itu kerana minat mendalam terhadap sains angkasa lepas walaupun tidak menyertai Persatuan Falak Sekolah.

“Sebut sahaja bidang angkasa lepas, sudah pasti ramai pelajar terbayangkan Planetarium Negara yang menjadi lokasi terbaik untuk mendapat pendedahan berkaitan astronomi.

“Namun bagi saya, balai cerap mini milik pakar bius ini sudah cukup untuk menimba ilmu dalam bidang sains angkasa selain penerangan serta peralatan lengkap yang terdapat di sini untuk melakukan aktiviti cerapan.

“Apabila pihak sekolah anjurkan program lawatan ke rumah Dr Mahamarowi, saya tidak lepaskan peluang untuk turut serta kerana minat. Kita tidak akan mengetahui apa objek di langit dan pergerakannya jika hanya memandang dengan mata kasar.

“Sekadar membaca buku, melayari Internet dan menggunakan aplikasi simulasi langit di dalam gajet tidak akan memberi kesan, impak serta gambaran sebenar di angkasa.

“Justeru, peluang yang diberikan ini kesempatan terbaik untuk saya mempelajari ilmu astronomi dengan lebih mendalam. Sepanjang malam, saya didedahkan dengan aktiviti cerapan bulan, bintang, planet serta nebula dan bintang kluster,” katanya.

Mohd Fahmi percaya, pelajar sepertinya akan lebih mengkagumi ciptaan Yang Maha Esa jika terus diberi pendedahan terhadap astronomi dalam erti kata sebenar, bukan sekadar perbincangan di bilik darjah semata-mata.

Bagi Musnim Sadiq Mawaridi, 18, dia sudah beberapa kali melakukan aktiviti cerapan langit sejak menjadi ahli Persatuan Falak di SMA Maahad Amir Indera Petra.

“Setiap kali melihat keindahan cahaya bulan dan matahari, membuatkan saya terfikir bagaimana pemilik bumi ini menciptakan suasana pemandangan yang mempesonakan di cakerawala.

“Disebabkan itu saya tak pernah melepaskan peluang jika ada lawatan ke rumah Dr Mahamarowi kerana beliau mempunyai pengetahuan yang sangat meluas dalam bidang astronomi.

“Selain berpeluang mencerap, kami juga diminta melukis semula apa yang dilihat melalui teleskop bagi memberi pemahaman mengenai fenomena yang berlaku.

“Di sebelah malam pula, Dr Mahamarowi akan mengajar kami mengenal kedudukan dan bentuk buruj di langit. Dapatlah kenal buruj Pari, Gemini, Orion, Ursa Major, Auriga, Canis Major, Canis Minor dan lain-lain.

“Buruj ini adalah ‘papan tanda’ di langit yang memudahkan kita mencari objek yang lebih kelam dan mencabar. Jika kita tidak mengenali buruj, susah untuk menerangkan kepada orang lain arah atau kawasan di langit yang kita sedang ceritakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:32 AM