myMetro

Kuala Lumpur: Kedudukan bumi sejajar dengan sesuatu planet atau dikenali sebagai ‘istiqbal’ bukan fenomena pelik, malah turut berlaku saban tahun berikutan peredaran orbit setiap planet mengelilingi matahari.

Kedudukan Zuhal yang mendekati bumi adalah sebahagian daripada fenomena istiqbal, malah planet Musytari dan Marikh turut berada berhampiran bumi dan boleh dilihat pada waktu malam.

Bagaimanapun, ketiga-tiga planet itu hanya kelihatan bercahaya seperti bintang biasa di langit pada waktu malam dan penggunaan peralatan khas seperti teleskop memberi bentuk fizikal sebenar planet itu.

Pengkaji astronomi Shahril Ahmad berkata, fenomena planet dekat dengan bumi bukan perkara asing, malah ia mempunyai tempoh masa tertentu dan saban tahun berlaku.

“Bagi fenomena planet Zuhal mendekati bumi, ia berlaku dalam tempoh 378 hari dan planet berkenaan mendekati bumi bukan sesuatu yang pelik, malah pusingan semula jadi planet itu.

“Zuhal kini berada di dalam kawasan buruj bernama ‘Ophiuchus’ iaitu berhampiran dengan buruj ‘Scorpius’ dan ‘Sagittarius’. Menerusi pandangan mata, Zuhal bersama-sama planet Marikh dan bintang tercerah dalam buruj Scorpius iaitu Antares membentuk segitiga besar,” katanya.

Shahril berkata, titik sejajar Zuhal dan bumi direkodkan berlaku semalam pada jam 2.25 petang dan ketika itu, kedudukan matahari, bumi dan zuhal berada dalam kedudukan sejajar.

Jurucakap Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) berkata, ketika kedudukan istiqbal bagi Zuhal dianggarkan pada pada posisi sembilan kali jarak bumi ke matahari

“Fenomena itu akan berlangsung selama tiga bulan iaitu bermula Jun hingga Oktober dan orang awam boleh melihat planet berkenaan pada waktu malam menggunakan peralatan khas.

“Sebelum ini, planet Zuhal mengalami istiqbal pada 20 Mei 2014, 23 Mei 2015 dan pada tahun hadapan pada 15 Jun 2017. Ia fenomena semula jadi dan tidak memberi kesan kepada bumi daripada aspek graviti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:25 AM