Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Polis selesaikan kes bunuh Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong selepas seorang daripada enam suspek membawa polis ke lokasi dia menyembunyikan senapang patah yang digunakan untuk menembak Bill, petang tadi.

Pesuruhajaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, hasil soal siasat, polis di bawa suspek ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama, Miri.

"Polis kemudiannya merampas senapang patah berkenaan bersama beberapa butir peluru serta satu kelongsong peluru yang sudah digunakan.

"Dengan rampasan senapang patah dan peluru, polis yakin dapat menyelesaikan kes pembunuhan itu," katanya.

Suspek antara enam individu masing-masing lima lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 41 tahun yang ditahan polis antara 30 Jun hingga 1 Julai lalu.

Kejayaan pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar turut mendapat pujian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 8:46 PM