DEV (tiga dari kiri) menunjukkan senjata api yang dirampas di sebuah rumah di Tanjong Lobang, kelmarin.
DEV (tiga dari kiri) menunjukkan senjata api yang dirampas di sebuah rumah di Tanjong Lobang, kelmarin.
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Senjata api milik suspek utama pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjong Lobang, di sini, pagi kelmarin.

Senjata api milik Lee Chee Kiang, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Stephen Lee itu dirampas dalam sebuah bilik kebal di rumah itu pada jam 10.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, senjata yang dirampas itu ialah lima senapang patah pelbagai jenis, sepucuk pistol jenis Glock dan senapang jenis Ruger Rance Rifle.

Menurutnya, selain tujuh senjata api berkenaan, polis turut merampas dua kelopak pistol, 417 peluru pistol dan 206 peluru senapang patah.

“Semua senjata itu milik Stephen Lee namun rampasan itu tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan (Bill Kayong) ini, tetapi ia terpaksa dirampas atas faktor keselamatan.

“Suspek sudah melarikan diri ke Australia, jadi tiada sesiapa lagi yang bertanggungjawab terhadap senjata itu. Disebabkan itu, polis perlu merampas semua senjata berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Dev berkata, pistol Glock dan senapang Ruger Rance Rifle yang dirampas digunakan untuk kegunaan peribadi suspek manakala lima senapang patah digunakan polis bantuan di ladang kelapa sawit milik lelaki itu.

“Polis dalam proses menarik balik semula lesen senjata api suspek kecuali senapang patah yang akan dirujuk kepada Pejabat Daerah Miri untuk pembatalan lesen,” katanya.

Senapang patah yang digunakan untuk membunuh Bill pada 21 Jun lalu sudah pun dirampas dan dikenal pasti sebagai senjata buatan sendiri.

Sebelum ini, dua lelaki sudah didakwa di Mahkamah Majistret Miri berhubung kes pembunuhan Bill Kayong iaitu Mohamad Fitri Pauzi, 29, dan Lie Chang Loon, 37, mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 6:27 AM