DEV (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas. FOTO Mohd Rizal Abdullah
DEV (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Polis merampas lima senapang patah, pistol dan senapang milik suspek pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong di rumah di Tanjung Lobang di sini, semalam.

Semua senjata berkenaan dirampas pada 10.40 pagi bersama dua kelopak pistol, 417 peluru pistol dan 206 peluru senapang patah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, senjata berkenaan adalah milik seorang daripada suspek yang masih diburu polis.

Menurutnya, senjata berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan itu, tetapi disebabkan keselamatan.

"Suspek sudah melarikan diri ke Melbourne, Australia dan tiada sesiapa yang bertanggungjawab ke atas senjata itu. Disebabkan itu, polis perlu merampas semua senjata berkenaan," katanya.

Katanya, senapang patah berkenaan adalah untuk kegunaan polis bantuan di ladang sawit milik suspek.

"Polis akan membatalkan dua lesen senjata api suspek yang dikeluarkan oleh polis iaitu pistol dan senapang manakala lesen senapang patah akan dirujuk kepada Pejabat Daerah Miri untuk pembatalan," katanya.

Bill Kayong ataupun nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah mati ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-Mart, Miri pada pagi 21 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 11:56 AM