Lim (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kemboja, Cynthia Liaw dan Ketua Pembayaran Maya Maybank Kemboja, Swapnil Deshmukh pada pelancaran aplikasi perbankan mudah alih Maybank.
Lim (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kemboja, Cynthia Liaw dan Ketua Pembayaran Maya Maybank Kemboja, Swapnil Deshmukh pada pelancaran aplikasi perbankan mudah alih Maybank.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Maybank memperkenalkan aplikasi Perbankan Mudah Alih Maybank di Kemboja yang juga bank pertama di negara itu yang menawarkan aplikasi memiliki ciri Augmented Reality dan Pembaca Kod QR.

Pengenalan ini adalah susulan pertumbuhan berterusan dalam perkhidmatan perbankan Internet di Kemboja dan kejayaan pengenalan aplikasi sama di Malaysia pada 2014.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank Datuk Lim Hong Tat berkata, perbankan Internet menjadi trend penggemar digital dalam kalangan rakyat Kemboja yang kini semakin selesa melakukan transaksi secara aplikasi dalam talian.

“Saluran perbankan dalam talian Maybank iaitu M2U yang diperkenalkan di Kemboja pada 2012 menyaksikan pertumbuhan mantap dengan asas pengguna berdaftar meningkat lebih 50 peratus dalam tempoh setahun dan jumlah urus niaga meningkat lebih 50 peratus dari 2014 hingga 2015,” katanya selepas melancarkan aplikasi baharu itu di Phnom Penh.

Beliau berkata, penggunaan telefon mudah alih di Kemboja berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun lalu dengan hampir 24.2 juta pelanggan sambungan mudah alih dicatatkan sehingga Januari 2016 di negara yang mempunyai lebih 15 juta penduduk ini.

“Selain itu, terdapat kira-kira 5 juta sambungan Internet aktif di negara berkenaan dan pelancaran satu-satunya aplikasi Perbankan Mudah Alih di Kemboja, pelanggan akan menikmati pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan serta transaksi perbankan yang laju menerusi telefon mudah alih mereka.

“Melalui aplikasi ini, pelanggan Maybank menyemak baki akaun termasuk pembelian menggunakan kad debit dan melakukan transaksi ringkas bila-bila masa dan di mana saja dan mengurangkan keperluan pergi ke cawangan,” katanya.

Malah, menurutnya, aplikasi itu juga menyediakan kemudahan tambahan untuk menghantar wang ke nombor mudah alih dan wang boleh dikeluarkan dari mana-mana ATM Maybank tanpa perlu menggunakan kad ATM.

“Dalam konteks tawaran berevolusi di Kemboja, Aplikasi Perbankan Mudah Alih Maybank telah mengintegrasikan keupayaan Augmented Reality dan Pembaca Kod QR untuk memudahkan pelanggan mencari cawangan Maybank terdekat.

“Alat pengesan cawangan ini membolehkan pelanggan mengimbas persekitaran mereka dan mengikut arahan pada skrin dan mengesan ATM berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 7:23 AM