PEI Jing (kiri) dan Kian Meng mudah menewaskan pasangan Indonesia, semalam.
PEI Jing (kiri) dan Kian Meng mudah menewaskan pasangan Indonesia, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Gandingan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terus mempamer aksi cemerlang di Terbuka Taiwan apabila melangkah ke pentas final hari ini selepas menewaskan pasangan Indonesia Riky Widianto-Gloria Emanuelle Widjaja semalam.

Kian Meng-Pei Jing hanya memerlukan 46 minit sebelum menang 21-17, 22-20 ke atas lawan mereka pada aksi separuh akhir di Taipei Arena.

Hari ini, pasangan negara itu berpeluang memburu kejuaraan antarabangsa pertama mereka jika dapat menewaskan gandingan China yang juga pilihan kelima kejohanan Zheng Siwei-Chen Qingchen.

“Kemenangan hari ini (semalam) hasil strategi tepat terutama pada set pertama,” kata Pei Jing.

Mengulas pertemuan dengan Zheng Siwei-Chen Qingchen hari ini, Pei Jing berkata dia serta Kian Meng hanya mahu mempamer aksi terbaik dan cuba memberikan saingan sengit.

“Pasangan China yang akan kami temui memang kuat. Jadi kami perlu memberi saingan sengit.

“Kami juga tidak mahu memikirkan soal untuk menang. Hanya mahu beraksi dengan baik dan menikmati perlawanan itu,” katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin gagal mara ke final selepas tewas mudah kepada jaguh tuan rumah yang juga pilihan kelima Chou Tien Chen 16-21, 10-21 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:10 AM