ZARINA penuhi undangan berlakon jika ada kelapangan selepas jadi penyampai radio.
ZARINA penuhi undangan berlakon jika ada kelapangan selepas jadi penyampai radio.
Ramlah Zainal


Sejak bergelar penyampai radio Best FM, pelakon Zarina Zainoordin membataskan kerjaya lakonannya kerana memberi fokus pada tugas barunya itu.

Maklumlah, kata Zarina, dia juga terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru demi memenuhi komitmen sebagai penyampai stesen yang beroperasi di Johor Bahru itu.

“Saya baru empat bulan memulakan tugas sebagai penyampai radio dan masih menyesuaikan diri dengan tugas baru ini.

“Sebagai penyampai radio, jadual saya sangat padat dengan pelbagai aktiviti dan program seperti rakaman rumah terbuka Best FM, Carta Best Raya dan sesi fotografi untuk Best FM raya,” katanya.

Mengenai karier lakonan, kata Zarina, dia juga rindu untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Setakat ini, saya tidak ada projek drama baru dan tiada drama lakonan yang ditayangkan di kaca televisyen ketika ini.

“Jika ada kelapangan, saya tetap akan memenuhi undangan berlakon untuk mengubat rindu pada bidang lakonan. Namun, saya terpaksa akur, jarak antara studio (stesen radio) dan Kuala Lumpur juga agak jauh,” katanya.

Zarina berkata, dia juga perlu bijak membahagikan masa antara karier lakonan dan kerjaya sebagai penyampai radio supaya bergerak seiringan.

“Saya juga perlu memaklumkan kepada produksi jadual lakonan sebulan lebih awal dari tarikh penggambaran supaya jadual kerja dapat disusun dengan lebih baik.

“Contohnya, mengambil cuti tahunan lebih awal bagi membolehkan jadual penggambaran boleh disusun mengikut masa,” katanya.

Mengenai karier nyanyian pula, kata Zarina, dia juga akan muncul dengan single baru tidak lama lagi.

“Insya-Allah, semuanya masih dalam perancangan. Selain itu,

saya juga masih memenuhi undangan persembahan nyanyian termasuk majlis amal pada Ramadan,” katanya.

Kali pertama beraya tanpa ayah

Sambutan Aidilfitri Zarina tidak lagi semeriah dulu kerana kali ini dia sekeluarga beraya tanpa ayahnya.

Menurutnya, persiapan raya mereka sekeluarga juga sederhana pada tahun ini.

“Maklumlah, ia kali pertama, kami beraya tanpa ayah disisi. Kenangan beraya bersama ayah antara saat manis yang sentiasa bermain di ingatan.

“Selain beraya bersama keluarga di Johor Bahru, saya juga akan bercuti ke Bali, Indonesia.

“Saya juga bercuti raya hampir seminggu cuma pada hari raya ketiga, saya akan masuk konti semula,” katanya.

Mengenai juadah kegemaran pula pastinya semua air tangan emak seperti sambal kacang, nasi himpit dan rempeyek.

“Biskut raya kegemaran pula ialah semperit, baulu dan suji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 10:55 AM