SETUJU bertugas sebagai penyampai radio BESTFM di Johor Bahru.
SETUJU bertugas sebagai penyampai radio BESTFM di Johor Bahru.
Oleh Nor Akmar Samudin


Selepas 12 tahun mencanai bakat sebagai pelakon dan pe­nyanyi, Zarina Zainoordin, 32, menyahut cabaran baru apabila bersetuju bertugas sebagai penyampai radio BestFM yang beroperasi di Johor Bharu (JB).

Kongsi anak jati Johor ini, bukan mudah untuknya menyambut lamaran Ketua pegawai Eksekutif BestFM, Yusry Abu Samah kerana banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama membabitkan karier seni.

“Kerjaya lakonan dan nyanyian berpusat di Kuala Lumpur (KL) dan sudah 12 tahun saya hidup di kota besar ini.

“Jika terima tawaran Yusry bererti saya kena berpindah ke kampung halaman di Johor dan mengurangkan aktiviti seni. Ini kerana tugas sebagai penyampai radio menuntut saya berada di konti mulai jam 6 hingga 10 pagi setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Bangun tidur seawal jam 4.30 pagi, tak mungkin rutin harian saya sama seperti dulu lagi.

“Seminggu saya memikirkannya dan selepas dihitung untung rugi serta baik buruknya serta sokongan ibu yang tidak sabar mahu saya menetap dengannya di JB, saya terima tawaran ini,” katanya.

Ujar Zarina lagi, tawaran lakonan yang tidak serancak dulu dan persefahaman yang terjalin antaranya dengan Yusry turut membuatkan dia sedia berdepan perubahan itu.

“Yusry sedia bertolak-ansur sekiranya saya ada tawaran berlakon dan nyanyian di KL, tetapi saya tidak akan ambil watak besar kerana ia memerlukan komitmen panjang. Selepas selesai tugas di konti pada Jumaat, saya boleh ke KL.

“Untuk tinggalkan terus bidang lakonan memang tidak boleh, cuma saya akan perlahankan rentak. Nyanyian pula tak ada masalah kerana biasanya persembahan hanya pada hujung minggu.

“Faktor penggerak lain yang membuatkan saya setuju bersama BestFM ialah bayarannya yang lumayan. Jika dulu populariti menjadi keutamaan, sekarang saya perlu fikirkan soal duit dan apa yang ditawarkan berbaloi dengan pengorbanan saya,” katanya.

Zarina mengendalikan segmen Best Pagi bersama penyampai berpengalaman saluran itu, Zairi Ibrahim yang dulunya bergandingan dengan Haiza. Sepanjang setahun berganding, Zairi dan Haiza berjaya melonjakkan rating radio itu de­ngan peningkatan 144 peratus pendengar pada setiap pagi.

Justeru Zarina mengakui agak gementar memulakan tugasnya. Sebagai latihan, dua minggu lalu dia ke udara bersama Zairi, namun identitinya dirahsiakan.

Mereka diberi jolokan Double Z dan Zarina diperkenalkan secara rasmi kepada pendengar radio itu pada Isnin lalu.

“Dua belas tahun menghadap lensa kamera, berdialog dan menyanyi tidak sama cara penyampaian DJ. Suara yang berkumandang di radio mesti ceria dan saya diajar bercakap sambil tersenyum walaupun pendengar tidak boleh lihat se­nyuman itu.

“Apatah lagi objektif Best Pagi adalah menghangatkan suasana pagi orang JB, jadi suara mestilah kedengaran segar, cergas dan ceria,” katanya.

Beralih soal hati, selepas beberapa kali kecundang dalam percintaan, Zarina kini bahagia dengan kekasih barunya.

Khabarnya, jejaka itu menguruskan syarikat pe­ngurusan acara bersama Zarina di ibu kota dan sentiasa menyokong kerjaya seni penyanyi dan pelakon ini. Malah dia menggalakkan Zarian menyambut tawaran BestFM.

“Seiring peningkatan usia, bagi saya percintaan kali ini lebih matang. Rasa rindu yang bertandang bukan seperti cinta zaman remaja di mana mahu berjumpa setiap hari.

“Kami berjauhan demi kerjaya dan jaminan masa depan. Sebenarnya dengan teknologi hari ini, jarak yang jauh terasa dekat saja. Alhamdulillah, dia juga tidak mendesak kami segera menikah. Insya-Allah, ada jodoh pasti kami dapat hidup bersama juga nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 8:19 AM