Rashid  (tengah), memberikan panduan kepada   Wei Feng (kanan) ketika menentang pemain Asia All Star, Hu Yun.
Rashid (tengah), memberikan panduan kepada Wei Feng (kanan) ketika menentang pemain Asia All Star, Hu Yun.

Kuala Lumpur: Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala Axiata, skuad negara tidak mampu mencari penawar kekecewaan itu apabila kecundang kepada Pilihan Asia pada penentuan tempat ke-3/4 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Meskipun seri 2-2 selepas tamat semua perlawanan, skuad negara tetap tewas berdasarkan kiraan mata terkumpul keseluruhan iaitu 140 berbanding 147 yang diraih Pilihan Asia.

Ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek menganggap kekalahan semalam berpunca daripada kegagalan pemain perseorangan negara Chong Wei Feng untuk memungut mata pertama.

Wei Feng gagal memberikan permulaan baik yang diharapkan pasukan negara apabila tewas 20-22, 16-22 kepada pemain Hong Kong, Hu Yun.

“Kami memang harapkan Wei Feng untuk menang perlawanan itu ataupun sekurang-kurangnya memenangi satu set.

“Tapi, gangguan cahaya lampu menjejaskan tumpuannya. Untuk mencari keyakinan semula di set kedua bukan mudah kerana lawannya juga agak bagus.

“Apapun secara keseluruhan, pencapaian kami tidaklah terlalu teruk kerana kami masih mampu mara hingga ke tahap ini,” katanya pada sidang media semalam.

Pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi yang turun selepas Wei Feng pula nyata tidak mampu menandingi pemain Taiwan, Tai Tzu Ying selepas tewas mudah 12-21, 8-21.

Begitupun, pasangan beregu negara Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong bangkit menjadikan kedudukan 1-2 selepas menewaskan gandingan India, Manu Attri-Sumeeth Reddy 21-11, 21-13.

Beregu campuran Chan Peng Soon-Lai Pei Jing menjadikan kedudukan 2-2 selepas menewaskan Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah 21-19, 21-19, tetapi kemenangan itu masih belum mampu untuk memberikan kemenangan mutlak kepada kem negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:22 AM