Pusat Darah Negara (PDN) sentiasa memastikan bekalan darah mencukupi dan mempunyai senarai penderma yang sedia tampil membantu, termasuk jenis darah yang sukar didapati.
Pusat Darah Negara (PDN) sentiasa memastikan bekalan darah mencukupi dan mempunyai senarai penderma yang sedia tampil membantu, termasuk jenis darah yang sukar didapati.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tindakan pihak yang menghebahkan mesej meminta orang ramai menderma darah melalui media sosial perlu dihentikan kerana mengelirukan masyarakat berikutan Pusat Darah Negara (PDN) tidak menghadapi masalah itu buat masa ini.

Pegawai Perubatan di pusat itu Dr Nor Hafidza Haron berkata jika pesakit memerlukan bekalan darah, mereka boleh berhubung terus dengan PDN atau tabung darah berhampiran.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dua mesej yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini, meminta penderma darah kumpulan 'O Rh negatif', tampil menderma darah untuk pesakit tertentu.

Menurutnya, mesej yang tersebar di laman sosial menyebabkan bekalan darah berlebihan dan menghalang pengumpulan berjadual kumpulan darah sukar didapati itu memandangkan penderma darah hanya boleh menderma setiap dua hingga tiga bulan sekali.

Beliau berkata, ada beberapa kejadian penderma darah kecewa selepas dinasihatkan PDN dan bank darah kementerian supaya tidak menderma darah setelah tiba di tempat menderma kerana stok darah untuk kumpulan darah tertentu berlebihan.

"Darah yang didermakan hanya bertahan untuk tempoh tertentu (35 ke 42 hari), berkemungkinan beg darah yang berlebihan akan dibuang kerana melepasi jangka hayat,” katanya.

Walaupun mesej yang diviralkan itu boleh dilihat positif sebagai cara mengingatkan orang awam mengenai keperluan berterusan bekalan darah jenis

jarang ditemui namun ia boleh memberikan gambaran negatif kepada Kementerian Kesihatan dan PDN.

"Ia menimbulkan gambaran tidak betul terhadap kepada keupayaan dan tanggungjawab kementerian serta PDN memastikan komitmen kami membekalkan darah dan produk darah yang selamat, mencukupi, seimbang dan cekap,” katanya.

Dr Azman berkata PDN sentiasa mengekalkan sejumlah beg darah berlainan kumpulan termasuk Rh negatif untuk keperluan kecemasan.

Beliau menghargai niat murni rakyat Malaysia untuk membantu mendapatkan bekalan darah bagi pesakit memerlukan namun menurutnya, jika PDN memerlukan bekalan darah ketika kecemasan, pihaknya mempunyai senarai penderma yang sedia tampil membantu, termasuk jenis darah yang sukar didapati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:13 PM