DR Noor Azmi (kanan) beramah mesra dengan penderma ketika melawat pameran kesihatan pada Kempen Kesedaran Derma Darah. FOTO Rohanis Shukri
DR Noor Azmi (kanan) beramah mesra dengan penderma ketika melawat pameran kesihatan pada Kempen Kesedaran Derma Darah. FOTO Rohanis Shukri
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Stok bekalan darah di Pusat Darah Negara (PDN) mencukupi ketika ini tetapi masih perlu ditambah dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, negara memerlukan kira-kira 2,000 beg darah sehari untuk kegunaan pesakit.

Justeru, katanya, bekalan darah perlu ditambah bagi kegunaan pesakit seperti kes kemalangan, kegunaan untuk pembedahan selain rawatan lain.

"Di Lembah Klang kita memerlukan antara 500 hingga 600 beg setiap hari dan (memang memerlukan darah) kerana kes (memerlukan stok darah) ada.

"Bekalan memang sentiasa perlu ditambah setiap masa kerana ada proses 'keluar masuk' bagi kegunaan pesakit. Buat masa ini (bekalan darah) mencukupi," katanya pada Majlis Perasmian Kempen Derma Darah Seluruh Negara dan Kesedaran Kesihatan di Medan MARA, di sini, hari ini.

Kempen berkenaan adalah program tahunan anjuran Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) itu membabitkan 16 syarikat insurans hayat di Malaysia dan 12 cawangan Persatuan Penasihat Insurans Hayat dan Takaful Keluarga Malaysia (NAMLIFA) di lebih 40 lokasi seluruh negara termasuk Medan MARA bermula hari ini hingga 31 Oktober depan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, PDN akan sentiasa mengemas kini bekalan kumpulan darah yang diperlukan di laman Facebook mereka.

"Seperti sekarang banyak kes yang memerlukan bekalan darah O negatif, jadi mereka dari kumpulan itu dijemput hadir untuk menderma darah," katanya.

Beliau berkata, semua kaum di negara ini memainkan peranan dan sentiasa memberi sokongan padu untuk menderma darah.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menggalakkan rakyat untuk menderma darah dan mana-mana pihak berkenaan juga memperbanyakkan program seumpama itu untuk membantu menyelamatkan nyawa.

"Menderma darah adalah satu perbuatan yang mulia dan memberi banyak manfaat kepada penderma.

"Selain menjaga kesihatan jantung, penderma darah juga dapat mengawal tekanan darah mereka, agar sentiasa berada dalam keadaan normal dan sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 5:31 PM