TRUMP menyertai pembesar Arab Saudi melakukan tarian pedang ketika upacara menyambut ketibaannya di Istana Al Murabba, Riyadh, kelmarin.  - Reuters,
TRUMP menyertai pembesar Arab Saudi melakukan tarian pedang ketika upacara menyambut ketibaannya di Istana Al Murabba, Riyadh, kelmarin. - Reuters,
AFP

Riyadh: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merayu negara Islam menentang golongan ‘pelampau Islam’ dan memberitahu puluhan pemimpin Islam yang menghadiri sidang di sini bahawa ia bukan perang antara agama.

“Ini peperangan dengan penjenayah kejam yang mahu memusnahkan kehidupan manusia dan menentang sesiapa daripada semua agama yang menentangnya.

“Ini adalah peperangan antara yang baik menentang kejahatan,” katanya ketika berucap di persidangan itu di Riyadh semalam.

Persidangan itu dihadiri puluhan pemimpin dari negara Islam.

Sikap keras Trump terhadap apa yang sebelum ini digelarnya ‘Pengganas radikal Islam’ menjadi tema kempen paling kontroversinya dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat tahun lalu sehingga membimbangkan dunia Islam.

Bagaimanapun, dalam ucapannya semalam, dia menyeru pemimpin Islam menentang ‘krisis pelampau Islam.’

“Pemimpin agama perlu jelas dengan perkara ini. Kekejaman tidak akan membawa kejayaan, sekiranya kamu memilih jalan keganasan, hidup kamu akan kosong dan kehidupan kamu menjadi singkat.

“Kami di sini bukannya untuk mengajar, kami di sini bukannya mahu memberitahu orang lain bagaimana untuk hidup atau apa perlu disembah.

“Sebaliknya, kami di sini adalah untuk menghulurkan kerjasama, berdasarkan kepentingan dan nilai bersama,” jelasnya.

Dalam ucapan itu, Trump juga merayu negara di Asia Barat memainkan peranan dalam menentang puak pelampau.

“AS bersedia berdiri bersama kamu tetapi negara Asia Barat tidak boleh menunggu kuasa AS menghapuskan musuh untuk kamu.

“Negara Asia Barat perlu memutuskan apa bentuk masa depan mereka, untuk diri sendiri, untuk negara dan untuk anak mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 11:41 AM