KEBIASAANNYA, pesakit Parkinson menunjukkan gejala tangan, kaki atau badan menggeletar.
KEBIASAANNYA, pesakit Parkinson menunjukkan gejala tangan, kaki atau badan menggeletar.
HM Digital

PARKINSON ialah gangguan saraf yang kompleks hingga menjejaskan sistem tubuh iaitu sistem motor dan saraf pusat.

Penyakit ini menyebabkan daya kawalan otot pesakit merosot.

Punca berlaku akibat kekurangan bahan kimia dopamin iaitu sejenis neurotransmiter dalam otak yang berfungsi menghubungkan sel otak dan seterusnya mengawal pergerakan badan dengan sempurna.

Dianggarkan, ada 10,000 pesakit Parkinson di Malaysia dengan sebahagian besarnya berusia lebih 60 tahun.

Pada masa sama, kebanyakan pesakit hanya menyedari menghidap Parkinson apabila penyakit itu mula menjejaskan keupayaan mereka melakukan aktiviti harian.

Kebiasaannya, pesakit menunjukkan gejala seperti tremor (tangan, kaki atau badan menggeletar), pergerakan perlahan, otot tegang, masalah postur badan, ketidakseimbangan tubuh masalah percakapan dan menulis.

Namun pesakit yang berada pada tahap lanjut berkemungkinan mengalami komplikasi seperti kesukaran bercakap, mengunyah dan menelan, kemurungan, keresahan, masalah dalam hubungan seksual, kesukaran tidur, membuang air kecil dan sembelit.

Penyebab

Punca sebenar Parkinson belum dikenal pasti, tetapi kajian masih dijalankan dengan pelbagai laporan penemuan baharu.

Hasil kajian mendapati, hampir 10 peratus pesakit mewarisi penyakit ini melalui keturunan.

Penyelidik mengenal pasti bahawa mutasi genetik tertentu boleh menyebabkan Parkinson.

Individu yang terdedah kepada racun serangga dan rumpai tertentu, mempunyai sejarah kecederaan kepala serta penghidap kencing manis juga berisiko lebih tinggi menghidap Parkinson berbanding orang biasa.

Rawatan

Sehingga ini, tiada rawatan khusus yang dapat menyembuhkan Parkinson sepenuhnya.

Bagaimanapun, terdapat ubat-ubatan yang dapat membantu pesakit mengawal gejala penyakit ini dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup mereka.

Rawatan menggunakan ubat-ubatan tertentu yang berdaftar dalam pasaran Malaysia untuk rawatan Parkinson dapat mengurangkan gejala seperti masalah berjalan, pergerakan dan tangan menggeletar.

Seperti yang diketahui, penyakit ini berlaku disebabkan kekurangan bahan kimia dopamin.

Maka, rawatan Parkinson adalah dengan menggunakan ubat mengandungi bahan aktif levodopa seperti Madopar® dan Sinemet®.

Levodopa ialah bahan asas kepada dopamin yang juga rawatan pilihan utama bagi Parkinson.

Lazimnya, ia perlu diambil dua hingga enam kali sehari mengikut waktu ditetapkan bergantung kepada gejala dialami pesakit.

Pesakit turut disaran mengambil ubat mengandungi levodopa ketika perut kosong supaya mendapat kesan ubat optimum.

Jenis ubat-ubatan lain yang digunakan dalam rawatan penyakit Parkinson adalah:

i- Agonis Dopamin

Contoh: Ropinirole/Requip® dan Pramipexole/Sifrol®

ii-Penyekat monoamine oxidase (MAO)

Contoh: Selegiline

iii-Penyekat catechol-o-methyl transferase (COMT)

Contoh: Entacapone/Comtan®

Agonis Dopamin berfungsi seperti levodopa, manakala penyekat MAO dan COMT kebiasannya diambil bersama levodopa untuk memanjangkan tempoh keberkesanan levodopa dalam badan.

Sementara itu, ubat-ubatan antikolinergik dan amantadine pula digunakan untuk mengurangkan gejala menggeletar serta pergerakan luar kawal yang dialami pesakit.

Antara kesan sampingan ubat yang sering dihadapi pesakit ialah tekanan darah rendah, mual, muntah, kekeliruan, pening, hilang selera, bengkak kaki, tindakan luar kawalan, rasa mengantuk melampau, kekeringan mulut dan halusinasi.

Pesakit digalakkan berbincang dengan doktor dan ahli farmasi untuk mendapatkan nasihat supaya rawatan yang diberikan bersesuaian serta memastikan kesan sampingan yang dialami adalah minimum.

Pesakit akan mendapat banyak manfaat melalui senaman dilakukannya kerana ia boleh membantu mengawal pergerakan dengan lebih baik dan mengurangkan masalah berjalan, kecederaan sendi atau otot.

Selain itu, senaman juga dapat meningkatkan fleksibiliti, kekuatan otot dan keseimbangan badan pesakit.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di 1800-88-6722 setiap Isnin hingga Jumaat daripada jam 8 pagi hingga jam 5 petang (kecuali cuti umum).

Disediakan oleh:

Ziran Nadiah Ghazali

Pegawai Farmasi UF48

Farmasi Neurosains, Hospital Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 6:15 AM