Ronaldo menduduki tangga teratas Forbes pemain bola sepak pertama melakukannya. FOTO GETTY
Ronaldo menduduki tangga teratas Forbes pemain bola sepak pertama melakukannya. FOTO GETTY
Mirror

London: Cristiano Ronaldo menduduki tangga teratas carta Forbes selaku atlet menerima bayaran tertinggi dalam sukan.

Bintang Real Madrid itu muncul pemain bola sepak pertama melakukannya selepas meraih pendapatan sebanyak £60j (RM351 juta) tahun lalu.

Ronaldo, 31, menerima £38.4j (RM224 juta) daripada segi pendapatan dan sumber daripada penajaan £21.6j (RM126.4 juta) yang meletakkannya di tangga teratas.

Bintang Barcelona Lionel Messi di tangga kedua dengan pendapatan sebanyak £55.9j (RM328 juta) diikuti bintang bola keranjang Amerika Syarikat LeBron James dengan £53j (RM310 juta) untuk berada di tangga ketiga.

Pada kedudukan keempat pemain tenis handalan, Roger Federer meraih £46.5j (RM272 juta) diikuti oleh seorang lagi bintang bola keranjang Kevin Durant dengan £38.6j (RM226 juta).

Persaraan peninju berprofil Floyd Mayweather turut mewujudkan kekosongan tangga teratas untuk diisi atlet sukan dari Portugal itu.

Pemenang tiga kali Pemain Terbaik FIFA itu dianggap ‘pelaris pemasaran’ dan memiliki seramai 214.5 juta pengikut media sosial menerusi Facebook, Instagram dan Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 3:30 PM