BRENDAN (kiri) akui gandingan dengan Baddrol semakin serasi.
BRENDAN (kiri) akui gandingan dengan Baddrol semakin serasi.
myMetro

Johor Bahru: Pemain tengah Harimau Malaysia Brendan Gan tidak menafikan aksi kedua menentang Timor Leste begitu sukar namun kesungguhan rakan sepasukan yang inginkan kemenangan memberikan keputusan positif.

Dia juga mengakui pada awalnya belum pasti diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi pertama, Khamis lalu, namun sempat pulih sepenuhnya dan berpuas hati dengan persembahannya dalam membantu skuad negara menang 3-0 dan layak ke saingan kelayakan peringkat kumpulan Piala Asia.

“Bukan mudah untuk menentang Timor Leste pada aksi kedua itu kerana mereka sudah memahami corak permainan kami. Mereka juga tampak begitu agresif melancarkan serangan.

“Namun taktikal diatur ketua jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) supaya bertindak pantas menghadang gerakan di bahagian tengah membuatkan mereka seolah-olah buntu untuk melancarkan serangan,” katanya.

Brendan menegaskan kemenangan diraih pada perlawanan itu memberi lebih keyakinan kepada semua pemain untuk meneruskan rentak permainan lebih konsisten. Malah ia juga memberikan keputusan positif kepada bola sepak negara yang kerap dikritik apabila mempamer prestasi tidak menentu.

Dia yang tampak begitu serasi beraksi bersama Baddrol Bakhtiar enggan membuat perbezaan jika diturunkan bergandingan dengan Safiq Rahim sebaliknya membiarkan percaturan taktikal dilakukan Kim Swee.

“Saya sudah tahu corak Safiq dan Baddrol walaupun kami dalam pasukan berbeza pada saingan Liga Super. Tiada masalah buat kami untuk membentuk gandingan mantap dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 9:54 AM