myMetro

Johor Bahru: Pemain tengah Harimau Malaysia Baddrol Bakhtiar akan memastikan sepakan percuma mahupun sudut akan lebih tepat kepada rakan sepasukan apabila berdepan Timor Leste pada aksi kedua saingan play-off kelayakan Piala Asia di Stadium Larkin, malam ini.

Dia yang beraksi di posisi tengah jelas tidak mahu lagi melakukan kesilapan apabila bola sepakan percuma dan sudut ada ketika tidak menepati sasaran yang dicari tatkala ia tampak merugikan selepas rakan sepasukan gagal menyambut sepakan yang dilakukan.

“Saya akan pastikan setiap sepakan percuma mahupun sudut lebih efektif dan mungkin ada kelainan bagi mengelirukan benteng pertahanan lawan kerana sepakan begitu mampu membuahkan jaringan menerusi tandukan atau rembatan oleh barisan serangan.

“Kali ini kami akan turun dengan corak permainan lebih ampuh namun perlu juga berwaspada kerana Timor Leste mungkin akan lebih agresif dalam usaha memburu gol awal malah pemain tengah pasukan lawan cukup berbahaya.

“Paling penting kami harus mengikut taktikal yang dirancang oleh ketua jurulath (Datuk Ong Kim Swee) dan tidak boleh melakukan kesilapan dan jika perancangan itu berjaya dilaksanakan tidak mustahil kami mampu melakar kemenangan kedua,” kata Baddrol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:40 AM