Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Biarpun Malaysia menang 3-0 ke atas Timor Leste pada aksi pertama play-off kelayakan Piala Asia 2019, pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee tidak mahu terlalu gembira.

Sebaliknya, beliau menegaskan masih ada baki 90 minit perlawanan yang perlu diharungi pada aksi kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Isnin ini dan kemungkinan ada rombakan kecil berikutan kecederaan dialami Shahrom Kalam dan Brendan Gan.

“Kemenangan yang membanggakan buat setiap pemain kerana memberi komitmen tinggi terhadap perlawanan itu dengan corak permainan pantas menerusi hantaran pendek lancar.

“Walaupun aksi babak pertama begitu konsisten apabila menjaringkan dua gol namun 20 minit terakhir kita hampir dihukum selepas Timor Leste melakukan dua percubaan berbahaya. Saya kena kaji semula di mana kesilapan itu dan perbaiki sebelum aksi kedua nanti.

“Apapun saya amat lega selepas dua perlawanan persahabatan yang berakhir dengan seri, ramai mempersoalkan kegagalan pemain kita menjaringkan gol, namun mereka membuktikan tanggapan itu salah apabila mencipta tiga gol,” katanya.

Kim Swee juga menegaskan betapa kehadiran 11 pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang memiliki pengalaman luas pada saingan kelab Asia turut membantu dengan menjadi tulang belakang pasukan.

Mengenai Mohd Azrif Nasrulhaq dan S Kunanlan yang beraksi konsisten di posisi sayap dan bek kanan, Kim Swee menjelaskan kedua-dua pemain itu membentuk kombinasi mantap apabila menutup ruang sayap kiri Timor Leste daripada melakukan hantaran lintang.

“Ketika Azrif beraksi bersama Harimau Muda, lima tahun lalu, dia beraksi di sayap kanan dan tidak timbul masalah untuknya bergandingan baik bersama Kunanlan.

“Kecederaan Shahrom dan Brendan pula belum pasti serius namun jika kedua-duanya tidak dapat diturunkan, pemain simpanan yang ada sedia untuk menggalas tugas,” kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:07 AM