ANGGOTA forensik menjalankan siasatan berikutan menjumpai mayat yang dipercayai dibunuh di Jalan Kesang Pajak-Simpang Gading, Jasin. FOTO Zuhairi Zuber
ANGGOTA forensik menjalankan siasatan berikutan menjumpai mayat yang dipercayai dibunuh di Jalan Kesang Pajak-Simpang Gading, Jasin. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


Jasin: Seorang lelaki warga emas dipercayai mati dibunuh apabila ditemui orang awam di bahu jalan di Jalan Simpang Gading-Durian Tunggal, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mayat mangsa Muhammat Nekmat, 66, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di samping motosikal SYM ditunggangnya, disangka terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun selepas pihak ambulans hospital dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba, mendapati kecederaan dialami mangsa bukan akibat kemalangan lalu menghubungi polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, masih terlalu awal untuk mengesahkan motif pembunuhan.

"Terdapat banyak kesan kecederaan pada bahagian depan badan mangsa, dipercayai kesan senjata tajam.

"Bagaimanapun setakat ini, kita belum menemui senjata yang digunakan suspek," katanya yang ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini.

Beliau berkata, mangsa seorang tukang kebun di sebuah resort golf di Ayer Keroh, menggunakan jalan terbabit setiap hari dan menjadi rutin mangsa keluar rumah jam 6.30 pagi.

Sampornak turut menolak kematian mangsa bermotifkan rompakan berikutan beberapa barangan serta dompet mangsa tidak diusik suspek.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kita klasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian menghubungi IPD Jasin di talian 06-5292222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 3:11 PM