SAMPORNAK (tiga kiri) menunjukkan barang rampasan hasil tangkapan Geng Couple. FOTO Rasul Azli Samad
SAMPORNAK (tiga kiri) menunjukkan barang rampasan hasil tangkapan Geng Couple. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Suami isteri dipercayai dalang samun berkumpulan antara lima yang ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jasin Rabu lalu.

Kumpulan samun "Geng Couple" itu ditahan di dua lokasi dalam dua siri tangkapan berasingan di Merlimau dan Serkam, di sini.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, kejayaan tangkapan itu hasil penubuhan Task Force Op Samun bagi menyelesaikan beberapa kes samun pada Mac lalu.

Menurutnya, kes pertama samun membabitkan dua beradik lelaki warga emas di Merlimau manakala dua lagi kes membabitkan samun ke atas lelaki warga asing.

"Hasil maklumat yang diperoleh daripada siasatan pasukan Task Force membawa kepada tangkapan pertama berdekatan asrama pekerja kilang telur ayam di Merlimau iaitu suami isteri masing-masing berumur 17 dan 16 tahun pada 1.30 tengah hari.

"Manakala tangkapan kedua ke atas tiga lelaki berusia 22, 21 dan 15 tahun di kawasan lain di Merlimau dan Serkam beberapa jam kemudian," katanya dalam sidang media di IPD Jasin, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil tangkapan itu pihaknya merampas 2 motosikal, sembilan telefon bimbit, parang dan pisau serta anak kunci.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:43 PM