Dua lelaki yang ditahan selepas menggeledah kereta orang lain.
Dua lelaki yang ditahan selepas menggeledah kereta orang lain.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun ditahan polis selepas menggeledah kereta milik lelaki yang sedang tidur di dalam kereta itu akibat mabuk di Jalan Lebuh Pantai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Lebuh Pantai ketika melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Lebuh Pantai.

Beliau berkata, kedua-dua suspek sedang menyelongkar di dalam kereta milik seorang lelaki berusia 27 tahun dan mereka cuba melarikan diri sebelum bergelut dengan polis dan ditahan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas di dalam raga motosikal suspek, polis menemui jam tangan, dompet, wang tunai dan pelbagai dokumen milik mangsa.

"Kedua-duanya dibawa keIbu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk pemeriksaan lanjut.

"Mereka direman lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 1:43 PM