FOTO ihsan polis
FOTO ihsan polis
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis menahan dua lelaki berusia 20-an kerana disyaki terbabit dalam kes curi motosikal di Sungai Nibong dan Jelutong petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan jam 2 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

Beliau berkata, penangkapan kedua-dua susulan satu laporan polis dibuat seorang lelaki selepas mendapati motosikal Yamaha 125Z miliknya yang diletakkan di tempat letak motosikal di sebuah flat di Lebuh Nipah, Sungai Nibong hilang akibat dicuri.

Katanya, hasil risikan dan siasatan polis mengesan suspek dan tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 20-an yang bekerja sebagai penarik motosikal di Desa Ria Seri Merpati, Sungai Ara.

"Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang lagi rakan suspek berusia 20-an yang bekerja sebagai pencuci kereta di sekitar Jelutong dan kedua-dua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke IPDTL untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek aktif dalam aktiviti mencuri motosikal di sekitar Daerah Timur Laut dan mereka mengaku mencuri motosikal bersama beberapa orang lagi rakan yang masih bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 11:07 AM