TATARIAS hidangan disediakan pasukan UiTM Regional Team Malaysia di Luxembourg.
TATARIAS hidangan disediakan pasukan UiTM Regional Team Malaysia di Luxembourg.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Perjalanan jauh amat berbaloi buat pasukan UiTM Regional Team Malaysia apabila berjaya menggondol emas dalam pertandingan Culinary World Cup 2014 di Luxembourg, Eropah, baru-baru ini.

Pasukan dianggotai 12 chef termasuk empat penuntut diploma Kulinari UiTM Dungun itu berjaya membuktikan kemampuan anak tempatan di pering­kat tertinggi di dunia.

Ia diketuai Chef Zubir Zain dari Alumni UiTM yang menyifat­kan kejohanan peringkat dunia itu menjadi medium terbaik untuk memberi pendedahan kepada chef muda mengenai peluang kerjaya di bidang berkenaan.

Katanya, gabungan antara chef profesional yang dibantu empat pelajar UiTM berkenaan mendedahkan mereka kepada pengalaman sebenar kerjaya itu bukan sekadar di dapur semata-mata.

"Sebenarnya pembabitan empat pelajar berkenaan lebih kepada usaha saya dan rakan chef daripada alumni UiTM untuk memberi pendedahan awal mengenai profesionalisme chef.

"Biarpun hanya membantu chef eksekutif menyiapkan hidangan, mereka dapat memahami proses sepanjang pertandingan dengan menjadi sebahagian daripada pasukan UiTM Regional.

"Mereka menjadi pelapis dan bakal menjadi chef pada masa akan datang untuk mencipta nama bukan sekadar di peringkat kebangsaan, malah dunia sekali gus mengharumkan nama UiTM," katanya.

Merujuk kepada cabaran dilalui pasukannya, Chef Zubir berkata, peruntukan besar diperlukan untuk membawa kru dan logistik menyertai pertandingan itu.

"Saya terharu dengan sokongan UiTM, Alumni dan Suria Resort yang menaja pasukan kami. Kos mencecah lebih RM150,000 diperlukan untuk membiayai keseluruhan pertandingan.

"Biarpun mempunyai penajaan pihak tertentu, jumlah diterima masih tidak mencukupi hinggakan kami sebagai peserta terpaksa mengeluarkan duit kocek sendiri untuk menampung kos penginapan serta penyediaan bahan.

"Sedangkan kehadiran kami dalam pertandingan terbabit untuk menaikkan nama institusi pengajian awam, sekali gus nama Malaysia. Saya berharap selepas ini ramai akan membuka mata dengan kemampuan kami selain memberi sokongan diperlukan untuk ke kejohanan antarabangsa.

Alhamdulillah, kami tidak menghampakan apabila memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan itu," katanya.

Penuntut UiTM Athina Hajeria Ahmad Husaini, 19, berkata debaran dan teruja antara perasaannya ketika menyertai pertandingan itu.

"Beraksi bersama chef profesional dalam pertandingan kulinari peringkat dunia terlalu besar buat saya kerana pengalaman masih terlalu cetek dalam bidang ini.

"Tentulah gemuruh kerana saya hanya pelajar. Saya menghargai peluang menyertai pasukan UiTM Regional Team Malaysia yang terdiri daripada senior chef daripada alumni kami.

"Saya dapat belajar secara langsung mengenai tatacara pertandingan bertaraf dunia menerusi pengalaman ini. InsyaAllah, ia boleh dikongsi dengan rakan pelajar lain," katanya.

Athina mengakui persediaannya begitu terhad disebabkan kekangan masa dan tempat.

"Ketika ini saya sedang menjalani latihan praktikal manakala Chef Zubir bertugas di hotel lain. Peluang berkumpul hanya apabila masing-masing mempunyai masa terluang yang sama," katanya.

Rakannya Amira Natasha Abdol Affandi berkata, biarpun berdepan saingan hebat daripada peserta negara Barat kerana pertandingan itu menampilkan hidangan sejuk, dia optimis pasukan berkenaan mempunyai keunikan sendiri.

"Ketika sesi latihan, saya akui penyediaan masakan kami agak sukar. Di tanah air makanan panas lebih menjadi perhatian.

"Namun, ketika pertandingan kekurangan ini bakal menjadi kelebihan kerana suhu di lokasi pertandingan lebih sejuk memudahkan kami menyediakan masakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:00 AM