Agensi

Mugello: Valentino Rossi (gambar) mencetuskan suasana meriah di Mugello apabila penunggang Yamaha itu menempah petak pertama MotoGP di negara kelahirannya menerusi sesi kelayakan terakhir semalam.

Pelumba Ducati Andrea Iannone itu melangkah ke sesi kelayakan kedua sebagai pilihan untuk meraih petak pertama buat kali kedua berturut-turut di litar Itali selepas mendominasi sesi latihan bebas, namun Rossi memanfaatkan peluang mencatat masa terpantas untuk merampas petak pertama bagi Yamaha.

Strategi ‘The Doctor’ merapati bakal rakan sepasukannya di Yamaha, Maverick Vinales ternyata membuahkan hasil apabila berjaya memintas pelumba Suzuki itu ketika laluan lurus untuk mencatat masa terpantas hujung minggu ini dengan catatan 1 minit 46.504 saat bagi petak pertamanya di Mugello sejak 2008.

Vinales juga tidak kurang hebat apabila penunggang muda Sepanyol itu mengetepikan Iannone ke tangga ketiga di barisan depan ketika mempertahankan masa terpantas sepanjang sesi itu.

Penunggang Suzuki itu mencatat 1:46.598s, ketinggalan 0.094s kepada Rossi, manakala Iannone ketinggalan 0.103s bagi membentuk barisan depan yang membabitkan tiga pengeluar berbeza.

Iannone yang sah menyertai Suzuki pada 2017, terlebih dahulu menguasai sesi kelayakan dengan 1:46.727s menerusi aksi sepusingan terpantas ketika cuba mengejar Jorge Lorenzo yang memulakan pusingan hampir satu saat di depannya.

Iannone kembali memperbaiki catatannya pada percubaan kedua, menamatkan aksi sepusingan dengan 1:46.607s untuk terus melebarkan penguasaan ke atas Vinales kepada 0.143s.

Namun menjelang beberapa minit terakhir, Vinales dan Rossi meninggalkan pit bersama dan penunggang berusia 37 tahun itu mempamerkan tunggangan hebat untuk menempah petak pertama, menyebabkan penyokong setianya bersorak kegembiraan.

Marc Marquez hampir memberi ancaman buat penunggang Honda itu pada saat terakhir, namun catatan masanya sedikit ketinggalan, membuatkan juara dua kali itu mendahului barisan kedua, ketinggalan 0.255s kepada Rossi.

Pendahulu kejuaraan Lorenzo hanya mampu menduduki petak kelima, 0.3 saat ketinggalan kepada rakan sepasukan manakala Aleix Espargaro yang menunggang Suzuki di petak keenam.

Dani Pedrosa (Honda), Bradley Smith (Yamaha) dan Danilo Petrucci (Ducati) membentuk barisan ketiga manakala Scott Redding (Ducati), penunggang uji Ducati Michele Pirro dan Yonny Hernandez yang juga menunggang Ducati melengkapkan barisan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:04 AM