Mengakui blog menjadi medan bagi menambah kenalan dan berkongsi idea bukan saja dari dalam negara malah negara luar menjadikan wanita yang sememangnya mempunyai minat mendalam dalam penulisan ini sentiasa bersemangat untuk berkongsi setiap ilmu dan informasi yang diketahuinya.

Ternyata selepas bertapak dalam dunia penulisan blog sejak 2012 dengan memaparkan kisah menarik mengenai pelancongan, produk terbaru serta lokasi makan yang menarik, nama blog Dikbee milik Hamizah Kamaruddin antara yang sering dijadikan rujukan khususnya bagi individu yang memerlukan maklumat berkaitan.

Lebih membanggakan apabila blog Dikbee pernah disenaraikan Google sebagai empat daripada 10 blog yang kerap dijadikan rujukan.

Semua itu hasil usaha keras Hamizah Kamaruddin, 30, yang sentiasa berusaha memberikan penerangan terbaik mengenai sesuatu perkara khusus dalam bidang penulisannya.

Menurut Hamizah, hampir keseluruhan perkara yang dimuatkan di blognya hasil pengalaman dirinya sendiri terutama mengenai lokasi pelanco–ngan menarik atau sesuatu produk terbaru.

“Selain memberi penerangan secara terperinci, saya juga memastikan setiap gambar yang disertakan juga menarik bagi memastikan blog saya sentiasa kelihatan cantik tersusun dengan semua maklumat diperlukan.

“Disebabkan itu, saya menitikberatkan kualiti sesuatu gambar sebelum dimuat naik kerana ia secara tidak langsung membantu pembaca untuk lebih memahami mengenai sesuatu perkara,” katanya.

Hamizah yang berasal dari Ayer Tawar, Perak itu berkata, dia pada mulanya tidak menyangka blognya mendapat perhatian pembaca kerana hanya memulakan bidang itu secara suka-suka bagi mengisi masa lapang de–ngan perkara berfaedah.

“Selepas menerima sambutan yang baik terutama mengenai sesuatu produk baru juga lokasi pelancongan menarik, saya semakin teruja untuk menulis sesuatu yang dapat membantu orang lain.

“Bermula dari situ, saya nekad untuk serius dalam penulisan blog dan pada masa sama, bidang ini membantu menjana pendapatan untuk diri saya,” ujarnya.

Hamizah yang kini berkhidmat di sebuah syarikat kontraktor turut me–ngakui cara penulisan yang lebih santai dan penyusunan blog yang menarik lebih membantu individu yang memerlukan maklumat untuk mendapatkan maklumat di blognya.

“Saya pastikan setiap ayat digunakan itu mudah difahami, santai serta tidak terlalu formal bagi memastikan pembaca tidak bosan selain memastikan gambar yang disertakan juga menarik dan sesuai.

“Kini, selepas menyertai Pasukan Projek Pelancongan, perkongsian di blog saya lebih memberi fokus kepada cerita mengenai lokasi pelancongan dan lokasi makanan menarik di seluruh Malaysia yang pernah saya lawati bersama ahli Pasukan Projek Pelancongan,” katanya.

Tambahnya, selain itu, dia masih memaparkan mengenai keberkesanan sesuatu produk yang berada di pasaran seperti produk kecantikan dan produk kesihatan yang sudah dicubanya sendiri.

“Pastinya blog banyak memberi faedah selagi ia tidak disalahgunakan terutama kepada penulis juga pembaca.

“Pembaca memperoleh maklumat dikehendaki manakala penulis pula mampu membantu individu memerlukan maklumat, menjana pendapatan juga menambah kenalan,” ujarnya.

Hamizah turut berharap blognya akan terus memberikan maklumat diperlukan dan membantu setiap individu yang mahukan informasi tertentu berkaitan pelancongan dan sesuatu produk baru di pasaran. - Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:02 AM