Oleh Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee

Masih ingatkah lagi, sewaktu kecil kita sangat teruja apabila cikgu mula menyebut perkataan ‘pada zaman dahulu kala...’. Perkataan ini seolah-olah magnet yang menarik kita untuk terus mendengar walaupun tidak pasti cerita yang bagaimana yang akan disampaikan oleh cikgu.

Malah, rata-rata ibu juga menggunakan teknik bercerita untuk memastikan anak-anak dapat bertenang sebelum mereka tidur. Apabila seseorang menyebut perkataan yang berkaitan dengan ‘cerita’, perhatikan secara automatik individu yang berada di sekelilingnya akan mula memberikan tumpuan.

Bermula dari rumah, sekolah dan persekitaran, kita tidak terlepas daripada aktiviti bercerita dan mendengar cerita. Menilaikan betapa besarnya impak cerita dalam kehidupan manusia, teknik ‘story-telling’ atau bercerita kini digunakan sebagai salah satu senjata baru dalam bidang penulisan iklan bagi pemasaran online.

Apa yang dikatakan (story-telling) ialah satu seni mengambil suatu peristiwa yang berlaku sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain dan menceritakan semula peristiwa terbabit dalam bentuk yang lebih mudah dan menarik untuk di terima.

Teknik ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing dalam diri manusia, malah ianya adalah suatu kemahiran asas untuk menyampaikan mesej atau menerangkan sesuatu.

Kanak-kanak seawal usia empat tahun juga mampu untuk bercerita mengenai perkara yang dialaminya di sekolah. Apa yang menakjubkan, sebagaimana keterujaan seseorang untuk bercerita, begitu juga keterujaan yang timbul untuk mendengar atau membaca cerita.

Teruja untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerita tersebut.

Ini adalah jawapan mengapa terdapat individu berupaya untuk menghabiskan pembacaan novel setebal 500 muka surat secara terus menerus dan mengapa seseorang boleh duduk menonton wayang dalam tempoh dua jam tanpa berganjak, tetapi pada masa yang sama tidak mampu untuk terus fokus menelaah bahan fakta ilmiah walaupun setebal 10 muka surat!

Dalam dunia perniagaan online, keterujaan terhadap cerita digunakan sebagai medium untuk menerangkan mengenai kelebihan produk dalam bentuk yang lebih santai dan menyeronokkan.

Kesan kepada hati

Bercerita memberi kesan kepada hati. Sekiranya digarap dengan tujuan untuk membuat pembaca rasa sedih, maka kesedihan akan turut dirasai oleh pembaca dan sebaliknya.

Ia umpama membawa pembaca untuk meyelami sendiri kisah di sebalik produk yang anda pasarkan. Cara ini dapat membina ‘keakraban’ dan ‘kepercayaan’ antara pencerita (peniaga) dan pembaca (pelanggan) hingga pada satu tahap pelanggan akan membeli produk anda secara rela tanpa terasa ada unsur ‘paksaan’.

Bukankah ada pepatah yang mengatakan, kalau hati dah suka, segalanya nampak indah di mata?

Cerita yang menarik dan berkesan sesungguhnya berupaya untuk mempengaruhi seseorang untuk ubah perasaannya mengenai sesuatu, sikap, cara berfikir dan cara dia bertindak balas terhadap suatu situasi.

Secara mudahnya, produk anda mungkin bukanlah sesuatu yang penting atau sesuatu yang paling diinginkan oleh pelanggan, tetapi dengan menggunakan cerita yang berkesan, produk anda mungkin boleh menjadi sesuatu yang benar-benar mereka inginkan.

Kadangkala, pelanggan tidak menyedari bahawa mereka memerlukan produk anda sehinggalah anda beritahu mereka. Contohnya, orang mengalami masalah bau badan mungkin tidak kisah dengan bau mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar bahawa masalah itu sangat mengganggu orang di sekilingnya. Perhatikan contoh permulaan story telling ini

Dia cantik, dia berbau

Ada seorang kawan sekolah saya dulu memang cantik orangnya. Dengan kulit yang putih, wajah yang menarik, tubuh yang ramping dan sikap ramahnya memang boleh dikategorikan cantik yang sempurna.

Tetapi, jangan rapati dia. Semua kesempurnaan itu hilang bila awak terhidu bau badan dia. Ya Tuhan, memang memualkan.

Fokus cerita ini ialah untuk beritahu bahawa betapa cantik pun seseorang itu, tetapi sekiranya dia mempunyai badan yang berbau, ia sangat menjengkelkan orang di sekelilingnya.

Sekiranya anda ialah peniaga produk mengatasi masalah bau badan dan cerita seumpama ini dibaca oleh kelompok sasaran (pembaca yang mengalami masalah bau badan), kebarangkalian untuk anda mendapatkan jualan adalah tinggi.

Dari sudut kos, teknik ini membantu menjimatkan kos pengiklanan. Kebanyakan peniaga online akan memperuntukkan kos yang besar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit untuk menjalankan FB Ads setiap bulan. Tidak dinafikan, FB Ads sememangnya memainkan peranan besar dalam memperkenalkan dan memasarkan sesuatu produk.

Namun bagi ‘newbie’ atau mereka yang tidak mempunyai modal yang besar, teknik ‘story-telling’ adalah salah satu alternatif terbaik yang boleh diharapkan untuk memberikan impak yang memberansangkan walaupun tidaklah sehebat impak penggunaan FB Ads.

Bukan sesuatu yang sukar

Cerita yang menarik ditambah dengan visual yang sesuai bertindak seperti iklan yang tidak berbayar kepada penulisnya terutamanya apabila cerita tersebut diviralkan oleh pengguna online.

Bagi mereka yang baru bergiat dalam bidang pemasaran online dan bergelar newbie, penggunaan story-telling ini sememangnya menjadi salah satu pilihan.

‘Story-telling’ tidak memerlukan ‘template’ yang rumit mahupun disiplin atau format yang khusus dalam menghasilkannya. Kemahiran bercerita sememangnya telah wujud dalam diri setiap orang. Apa yang diperlukan ialah pengetahuan tentang teknik membina ‘story-telling’ pemasaran dan latihan yang berterusan bagi menghasilkan story telling yang mantap dan berkesan.

Teknik membina ‘story telling’ bukanlah sesuatu yang sukar dipelajari. Apa yang penting, sebelum menghasilkan story telling untuk produk anda, ada beberapa perkara dan persoalan yang perlu diperhatikan. Soalan yang perlu anda tanya diri sendiri ialah:

‘Apakah ‘musuh’ pelanggan saya?

‘Bahayakah ‘musuh’ ini?’

‘Sejauh mana ‘musuh’ ini mendatangkan kerisauan kepada pelanggan anda.’

‘Bagaimana produk anda membantu pelanggan mengatasi ‘musuh’ tersebut?’

Dari persoalan ini, hala tuju bagi ‘story-telling’ seperti pelanggan sasaran dan masalah yang ingin diselesikan dapat ditentukan.

Cerita yang ingin disampaikan boleh berdasarkan sumber kisah benar, testimoni daripada pengguna setia produk, pemerhatian sendiri mahupun penceritaan pihak ketiga.

Seterusnya, masukkan elemen penting yang perlu ada dalam ‘story telling’ iaitu;

a) Watak (hero dan musuh)

Cerita memerlukan watak hero dan watak jahat.Watak hero tidak semestinya diri anda, boleh jadi pihak ketiga seperti pelanggan, binatang atau apa sahaja dan watak jahat tidak semestinya manusia. Boleh jadi sistem atau masalah yang menjadi sumber ketakutan watak baik.

b) Konflik

Masalah yang dihadapi oleh hero dalam perjuangannya untuk mengatasi ‘musuh’. Contohnya hero dalam proses untuk menurunkan berat badannya (musuh), namun pada masa yang sama berhadapan dengan masalah suka makan lewat malam. Cerita tanpa konflik adalah membosankan.

c) Gambar/Imej

Penggunaan gambar menghidupkan lagi jalan cerita yang ingin disampaikan. Daripada sekeping gambar, pelbagai emosi boleh tercetus, pelbagai impak boleh terhasil. Gambar ibarat penyokong kuat bagi sesuatu cerita.

d) Kejutan

Elemen kejutan menarik perhatian pembaca untuk terus mengikuti cerita anda. Masukkan sekurang-kurangnya satu kejutan dalam cerita bergantung kepada panjangnya cerita yang ditulis.

e) Itu saya

Walaupun sedang bercerita kisah diri sendiri, sebenarnya anda sedang bercerita mengenai orang lain juga, iaitu orang yang mempunyai masalah yang sama dengan anda. Dedahkan sedikit kelemahan anda kerana tiada manusia yang sempurna. Cerita anda akan buat pembaca terasa seolah-olah itu adalah cerita mengenai diri mereka.

f) Impian terlaksana

Impian watak hero tidak semestinya telah tercapai, tetapi pastikan sekurang-kurangnya sedang menghala ke arah keputusan yang positif.

g) Pilihan perkataan

Berceritalah seperti anda bercakap. Lebih santai dan mudah diterima oleh ramai orang. Pastikan anda memahami vokab harian yang biasa digunakan oleh kelompok sasaran produk anda. Tidaklah sama penggunaan bahasa bagi kelompok remaja dengan kelompok wanita korporat.

Perhatikan dan masukkan kata kerja dan kata arahan pada tempat yang sesuai terutamanya pada bahagian penutup. Penggunaan perkataan yang betul pada tempat dan masa yang betul memastikan pembaca terus mengikuti cerita yang disampaikan.

Satu perkara penting yang mesti dielakkan dalam membina ‘story telling’ ialah ‘meleret’. Selepas satu cerita berjaya dihasilkan, sentiasa semak semula, potong bahagian yang tidak membantu menggerakkan cerita. Cerita yang meleret hanya akan menyebabkan pembaca tenggelam punca dan mudah merasa bosan.

Sebenarnya, semua orang boleh bercerita. Namun apa yang membezakan orang biasa dengan mereka yang pantas mengambil peluang, mereka berupaya untuk menukarkan cerita biasa menjadi cerita yang ‘berduit’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:07 AM