KAGUM melihat kebolehan penghuni dalam menjalankan aktiviti anyaman daripada buluh dan rotan.
KAGUM melihat kebolehan penghuni dalam menjalankan aktiviti anyaman daripada buluh dan rotan.

Kolej PTPL Sabah melalui Unit Pembangunan Pelajar (UPP) menganjurkan program Amal @ Rumah Persatuan Orang Buta Sabah, di Tuaran baru-baru ini.

Seramai 30 siswa daripada pelbagai bidang pengajian saling berganding tangan menghulurkan bantuan bagi membantu warga kurang bernasib baik di rumah berkenaan yang menempatkan golongan cacat penglihatan.

Antara aktiviti dijalankan ialah membersihkan kawasan sekitar pusat kebajikan dan sambutan hari lahir penghuninya.

Peserta turut berpeluang melihat sendiri anyaman bakul, tikar serta bubu yang dihasilkan daripada buluh dan rotan oleh penghuni rumah kebajikan itu.

Pengarah program, Erdie Osman berkata, kunjungan itu membuka mata mereka mengenai keistimewaan golongan berkenaan.

"Meskipun tidak mampu melihat, kebolehan mereka sangat mengagumkan sehingga kami terharu.

"Selain mendapat pengalaman baru, program ini bermanfaat memantapkan kemahiran insaniah selain memberi kesedaran mengenai bantuan yang perlu dihulurkan kepada golongan memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:01 AM