YANG Dipertua PKMM Negeri Kelantan, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz (dua kanan) menyerahkan Deklarasi Ahli kepada Ahmad Jazlan (empat kiri) selepas Mesyuarat Agung Tahunan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
YANG Dipertua PKMM Negeri Kelantan, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz (dua kanan) menyerahkan Deklarasi Ahli kepada Ahmad Jazlan (empat kiri) selepas Mesyuarat Agung Tahunan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan melihat projek yang boleh diagihkan bagi membantu kontraktor di bawah Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau bersimpati dengan nasib kira-kira 2,000 kontraktor terutama kelas G1 dan G2 memandangkan tawaran projek yang diterima hanya satu atau dua dalam setahun.

"Kita sedar kontraktor dari negeri ini khususnya PKMM Kelantan sukar mendapatkan projek disebabkan faktor sama ada bilangan yang ramai atau kekurangan projek pembangunan di negeri ini.

"Jadi kita memahami keadaan kontraktor kelas kecil seperti G1 dan G2 di negeri ini dan saya akan melihat projek yang terdapat di KKLW yang boleh diagihkan kepada mereka di negeri ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-39 PKMM Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, kontraktor negeri ini juga disaran mempelbagaikan cabang perniagaan seperti kedai menjual peralatan pembinaan memandangkan kesukaran mereka mendapat tawaran projek di negeri ini.

"Saranan saya ini bukan bermakna mereka perlu meninggalkan terus sektor pembinaan ini tetapi banyak peluang lain seperti perniagaan hardware yang kini banyak dimonopoli bukan Melayu.

"Saya juga berharap kontraktor mempunyai kesabaran tinggi dalam usaha mendapatkan tawaran projek yang dilaksanakan kerana kerajaan sentiasa membantu mereka dalam sektor pembinaan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 11:07 PM