FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Nik Sukry

MASALAH kelewatan pembayaran bagi tuntutan penyiapan kerja kepada kontraktor Bumiputera mengakibatkan ramai daripadanya berdepan masalah aliran tunai.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri, Abdul Ghafar Lambak berkata, kebanyakan kontraktor Bumiputera berjaya menyiapkan projek diberikan kepada mereka dalam tempoh ditetapkan, namun isu kelewatan pembayaran masih berlaku hingga menjejaskan operasi syarikat kontraktor terbabit.

“Berdasarkan klausa ditetapkan, sebaik kontraktor menerima tender, mereka diminta menyiapkan kerja atau projek terbabit dalam tempoh ditetapkan dan pembayaran tuntutan pula perlu dikeluarkan dalam tempoh 30 hari, selepas semua kerja disiapkan.

“Masalahnya sekarang, klausa itu tidak dipatuhi dan biasanya pembayaran tuntutan hanya dibuat antara 60 hingga 100 hari selepas kerja dilaksanakan.

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada kontraktor berkenaan, bahkan kelewatan pembayaran itu turut menjejaskan aliran tunai syarikat yang akhirnya memberi impak kepada pekerja yang terbabit dalam projek itu,” katanya ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdul Ghafar memaklumkan, kira-kira 1,000 ahli PKMM Pahang sering menyuarakan masalah kelewatan pembayaran tuntutan dan perkara itu sepatutnya diberikan perhatian serius oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kementerian Kerja Raya yang mahu menguatkuasakan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) terhadap projek bernilai RM50 juta ke atas, beliau berpendapat idea itu mempunyai pro dan kontra.

“Sistem IBS sudah lama digunakan di negara maju dan di sini pun sudah ada yang menggunakan sistem berkenaan. Namun, secara keseluruhannya kontraktor Bumiputera belum mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek menggunakan IBS.

“Walaupun sistem IBS boleh menjimatkan masa dan penggunaan sumber tenaga (pekerja), ia akan memberi kesan secara tidak langsung kepada peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan kepada pekerja tempatan atau tenaga kerja asing... jadi, perkara ini (sistem IBS) perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peluang untuk kontraktor Bumiputera mengambil bahagian dalam projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula tahun lalu.

“PKMM di peringkat pusat (ibu pejabat) sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak, untuk meninjau peluang yang boleh ditawarkan kepada ahli kita.

“Beliau ada memberikan jaminan untuk meneliti perkara itu dan saya harap pihak Kerajaan Persekutuan boleh membantu dengan menawarkan peluang bersesuaian kepada kita (PKMM)...menjadi satu kerugian jika projek sebesar itu dilaksanakan tanpa pembabitan kontraktor tempatan, terutamanya (kontraktor) Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 4:06 PM