GOL tunggal Mata beri tiga mata buat United.
GOL tunggal Mata beri tiga mata buat United.
Agensi

Norwich, United Kingdom: Gol tunggal Juan Mata pada separuh masa kedua sudah mencukupi untuk Manchester United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Norwich City semalam.

Keputusan itu juga sekali gus menyaksikan Norwich semakin hampir tersingkir pada saingan Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan itu menyaksikan Norwich menduduki tangga kedua tercorot dengan hanya Aston Villa yang sudah tersingkir, di bawah mereka ketika berbaki dua perlawanan lagi.

The Canaries melalui musim yang cukup sukar apabila sekadar mencatat dua kemenangan daripada 16 perlawanan terakhir dan tewas 12 kali.

Mata menjaringkan gol pada minit ke-72 selepas pertahanan Norwich Sebastian Bassong gagal menanduk bola keluar.

United sebelum sepak mula berdepan tamparan selepas penyerang Anthony Martial mengalami kecederaan ketika memanaskan badan dan kemudian digantikan dengan Ander Herrera.

Kemenangan United itu menyaksikan skuad bimbingan Louis van Gaal itu yang kini menduduki tangga kelima liga, semakin hampir untuk merebut slot terakhir Liga Juara-Juara yang kini dihuni oleh Manchester City di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:05 AM