TASHA
TASHA
Rudy Imran Shamsudin


Penyanyi Tasha Manshahar baru saja menamatkan pengajian dalam bidang perguruan di Institut Pendidikan Guru Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur dan kini menunggu jawapan di manakah ditempatkan nanti untuk mengajar.

Bagaimana situasi bakal pendidik ini apabila memulakan tugasnya kelak? Dikelilingi pelajar yang mungkin peminat setianya, tentu memberi suasana jauh berbeza dalam hidupnya.

Ditemui baru-baru ini, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar akui kerjaya yang bakal dimulakan itu nanti bukan masalah memandangkan sebelum ini dia sudah menjalani latihan praktikal.

Katanya, sepanjang mengikuti pengajian, beberapa kali dia menjalani latihan praktikal dan mengajar.

“Tidak dinafikan sejak aktif menyanyi, sebahagian besar pelajar di sekolah tempat saya menjalani latihan itu mengenali saya. Begitupun, tidak sekali pun mereka memanggil saya dengan nama Tasha,” katanya.

Tegasnya, dia sebaik mungkin membezakan situasi kepada pelajar dan tidak mengaitkannya dengan kerjaya nyanyian apabila berada di sekolah.

“Biasanya pada hari pertama mengajar, saya akan memperkenalkan diri kepada pihak pentadbiran sekolah dan juga pelajar dengan nama Nadia.

“Mereka boleh memanggil nama cikgu atau ‘miss’ memandangkan saya mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris,” katanya.

Untuk mengelakkan pelajar tidak keliru dengan apa yang cuba dilakukan, Tasha berkata, dia akan bertegas sekiranya ada antara anak muridnya memanggilnya dengan nama Tasha.

Penyanyi berasal dari Sabah itu akui akan ada tekanan yang bakal dihadapi apabila bergelar pendidik sepenuh masa.

Katanya, dia sedar bakal berhadapan dengan situasi di mana orang keliling menilai dunia seni sangat berbeza terutama pandangan ibu bapa pelajar yang bakal dididik.

“Memang banyak persepsi negatif dikaitkan dengan anak seni. Antaranya, mereka tidak berpendidikan, tidak pandai dan penuh dengan kontroversi.

“Bagaimanapun men­jadi tugas saya untuk memperbetulkan persepsi sedemikian. Semua individu yang tidak mahu berusaha untuk belajar akan menjadi tidak pandai dan tidak berpendidikan.

“Pada saya, seharusnya kita menunjukkan personaliti yang bagus dan jaga disiplin. Pada waktu sama, sebagai pendidik, saya perlu ada rekod yang baik. Sebagai cikgu saya harus lakukan apa yang sepatutnya saya buat.

“Hendak diikutkan, ramai juga yang melakukan dua kerja. Macam saya guru dan menyanyi. Malah ada juga pendidik lain yang juga melakukan kerja lain tetapi dalam situasi saya, disebabkan memilih untuk menyanyi dan mencipta lagu, ia lebih diberi per­hatian berbanding orang lain,” katanya.

Bakal muncul dengan lagu ciptaan sendiri Bukan Aku, kata Tasha, lagu itu sudah lama dicipta dan ia berentak balada. Lebih menarik apabila Bukan Aku diterbitkan pemain gitar utama kumpulan Drama Band, Ammar.

“Memilih lagu balada ciptaan sendiri untuk diketengahkan kerana syarikat rakaman mahupun saya sendiri mahu mencuba sesuatu yang baru. Apatah lagi sebelum ini kebanyakan lagu saya berentak ‘catchy’ dan dihasilkan DJ Fuzz.

“Selain itu, saya menghasilkan lagu balada kerana mahu lebih mengetengahkan kemampuan vokal. Bukan mahu membuktikan yang saya mempunyai suara baik, cuma sebagai penyanyi dengan lagu Bukan Aku saya mahu melihat sejauh mana saya boleh melakukannya. Tambah pula, lagu balada ini sangat dekat dengan pendengar Melayu,” katanya.

Sepanjang proses merakam Bukan Aku. Tasha berkata, dia tidak berhadapan masalah. Begitu juga bekerja dengan Ammar selaku penerbit.

“Kalau hendak diikutkan, lagu balada ini berat tetapi dengan kreativiti Ammar, ia menjadi lebih menarik dan komersial untuk didengar. Apatah lagi sebagai pemain gitar, sudah tentu ada sedikit elemen rock diserapkan dalam susunan muziknya.

“Kalau hendak dinilai dari segi melodi, banyak maklum balas yang kata lagu Bukan Aku sedap. Sayang kalau ia tidak dirakam dan Ammar berjaya menjadikan lagu ini menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:04 AM