DRASHTI.
DRASHTI.
Nor Akmar Samudin


Drama Ek Tha Raja, Ek Thi Rani yang kini hangat bersiaran di Zee Variasi (saluran Astro 108) setiap Isnin hingga Sabtu, jam 9 malam berjaya mencatat rating paling tinggi di saluran itu. Jumlah penonton terus bertambah setiap kali drama yang dibintangi aktres jelita, Drashti Dhami itu disiarkan.

Menurut Zee Entertainment Netword, kejayaan drama itu bukan saja kerana jalan ceritanya yang menarik, tetapi juga kehebatan lakonan aktres itu yang memegang watak sebagai permaisuri Gayatri.

Kisah bermula dengan negara di bawah pemerintahan suami Gayatri diserang musuh yang mahu menguasai kerajaan. Dalam peperangan itu suaminya terbunuh.

Gayatri yang hamil berjaya membawa mayat suaminya keluar dari istana dan melarikan diri ke dalam hutan. Selepas melahirkan anak, dia menyamar sebagai lelaki dan akhirnya menjadi pahlawan hebat digelar Jhansi Ki Rani yang berazam mendapatkan semula negara dan takhtanya.

Drama bersiri itu sarat dengan emosi, air mata, dendam malah kuasa baik bertarung dengan kuasa jahat bagi menuntut keadilan.

Bagi menghayati watak itu, Drashti mempelajari seni mempertahankan diri, menunggang kuda dan teknik bermain pedang untuk melawan musuhnya, syaitan Kaal lakonan Chetan Hansraj dan Badi Rani Ma (Surekha Sikri) yang sering menyamar untuk mengelirukan watak lakonannya.

Drashti berkata, antara babak paling mencabar dalam drama itu adalah aksi pertarungannya dengan Kaal.

“Gayatri tidak bersendirian ketika bertarung dengan Kaal kerana dia terpaksa menggendong bayinya di belakang. Adegan itu memang berat kerana saya terpaksa berlawan dengan tangkas dan dalam masa sama perlu memastikan bayi yang dikendong tidak jatuh.

“Ia memang sukar, tetapi saya seronok melakukan babak itu. Sebagai pelakon, saya mesti yakin dan berani untuk membawakan apa saja watak serta menonjolkan pelbagai personaliti dalam setiap lakonan saya.

“Dalam Ek Tha Raja, Ek Thi Rani, saya dapat menampilkan sisi lain lakonan saya. Saya juga pernah bawa watak gadis kampung,” katanya. anya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:02 AM