TRUMP melambai kepada penyokongnya di Indiana.
TRUMP melambai kepada penyokongnya di Indiana.
AP

Indianapolis (Amerika Syarikat): Calon presiden Republikan Donald Trump meraih kemenangan membanggakan di Indiana kelmarin dengan mengalahkan pencabarnya, Ted Cruz, sekali gus membuka laluan untuknya bertanding dengan pendahulu Demokratik Hillary Clinton pada November ini.

Bagaimanapun, Trump masih memerlukan kira-kira 200 delegasi untuk secara rasminya dicalonkan, tetapi keputusan Cruz untuk menamatkan kempennya sekali gus menghapuskan satu halangan.

“Ted Cruz, saya tidak pasti sama ada dia sukakan saya atau tidak, tetapi dia memang saingan yang hebat,” kata Trump dalam ucapan kemenangan yang jauh lebih tenang dan santai daripada biasa.

Dia turut menjanjikan kemenangan pada November ini dan sekali lagi berikrar memegang pada konsep ‘Amerika first’ (Amerika yang utama).

Hillary dan Trump kini akan bertanding jawatan presiden, dengan masa depan undang-undang imigresen Amerika Syarikat (AS), sistem penjagaan kesihatan dan posisi tentera di seluruh dunia dipertaruhkan.

Walaupun Hillary ketara mengetuai pilihan raya umum, dia berazam tidak memandang rendah terhadap kemampuan Trump memandangkan saingan ahli perniagaan itu dari parti Republikannya sendiri juga tidak dapat bertahan lama.

Selama beberapa bulan, pemimpin Republikan menganggap Trump sekadar calon sampingan, tetapi dia kini membuktikan dapat bertahan lebih lama berbanding pesaing politik yang lebih berpengalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, Reince Priebus mengisytiharkan perlumbaan itu tamat dan berkata di akaun Twitternya, Trump setakat ini calon parti itu.

“Kita semua perlu bersatu dan fokus untuk menentang @HillaryClinton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:04 AM