Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Guru sekolah rendah di Pahang ditahan polis kerana disyaki menghantar mesej berbentuk jelik dalam laman sosial Facebook (FB) yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Suspek lelaki berusia 31 tahun dan berasal dari Kuala Lipis, Pahang dekat sini, ditahan di rumahnya di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Pahang pada 12.50 tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, suspek ditahan susulan laporan polis diterima pada 12.30 tengah hari, 2 Jun lalu berhubung penghantaran mesej dibuat suspek di laman sosial berkenaan.

"Suspek didapati memuat naik penghantaran mesej berkenaan dalam akaun FB atas nama Chong Choonhau.

"Dua unit tablet turut dirampas ketika tangkapan dibuat," katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sementara mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret di sini, esok bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 4:58 PM