GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tujuh kertas siasatan di tiga negeri atas pelbagai kesalahan pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), semalam.

Pengarah Operasi PRU-15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, jumlah itu membabitkan tiga kertas siasatan di Selangor dan masing-masing dua kertas siasatan di Pahang dan Johor.

"Kertas-kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan selain beberapa kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan Akta Bahan Letupan 1957.

"Selain itu, kami turut menahan enam lelaki membabitkan kes yang dilaporkan di Sungai Petani, Kedah pada 19 November lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, enam lelaki itu ditahan susulan beberapa kumpulan parti dianggarkan 300 orang berkumpul di Dataran Zero, Pekan Lama Sungai Petani jam 2.15 pagi, kelmarin.

"Pihak polis kemudian menyuraikan kumpulan berkenaan. Enam lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 AKPR 1954," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berkata, sebanyak 3,417 laporan diterima pihaknya bagi tempoh 4 November lalu hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 508 kertas siasatan dibuka dan 149 kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, tujuh lagi kertas siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dengan enam kes sudah dituduh di mahkamah, manakala empat lagi kes sudah dijatuhkan hukuman sepanjang tempoh berkenaan.

- ends

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 1:26 PM