PENGIKUT Syiah berhimpun di makam Imam Moussa al-Kadhim di Baghdad, bagi memperingati ulang tahun kematiannya, semalam.
PENGIKUT Syiah berhimpun di makam Imam Moussa al-Kadhim di Baghdad, bagi memperingati ulang tahun kematiannya, semalam.

Baghdad: Puluhan ribu penganut fahaman Syiah berkumpul di sebuah makam di utara Baghdad semalam selepas satu serangan bom menyebabkan sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh.

Serangan bom oleh militan Daish itu dilihat tidak mengganggu ribuan pengikut Syiah yang melawat makam Imam Musa Kadhim bagi memperingati kematiannya.

“Jumlah pengikut yang besar ini melambangkan kekalahan pengganas,” kata Mohammed Nayif, 32, yang datang dari wilayah Babil, selatan Baghdad.

“Kami tidak takut dengan letupan bom dan tiada apa yang boleh menghalang kami,” tambahnya.

Seorang pegawai berkata, jutaan pengikut melawat makam berkenaan dalam tempoh beberapa hari lalu.

Beberapa jalan raya utama di Baghdad ditutup menjelang upacara memperingati kematian Imam Musa, satu upacara tahunan penting dalam kalendar pengikut Syiah.

Imam Musa adalah imam ketujuh daripada 12 imam pengikut Syiah. Dia meninggal dunia pada 799 Masihi.

Kedatangan pengikut yang besar pada setiap tahun sering menyebabkan aktiviti di Baghdad terhenti selama beberapa hari.

Militan Daish menganggap Syiah menyeleweng dari Islam dan sering menjadikan pengikut fahaman itu sasaran serangan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 10:14 AM