AFP

Manila: Polis Filipina percaya seorang imam Syiah adalah sasaran utama dua serangan bom yang membunuh dua mangsa di sini kelmarin, kata pegawai semalam yang menolak serangan dilakukan militan Daish.

Enam lagi mangsa dilaporkan cedera dalam letupan yang menggegarkan pejabat imam Syiah, Nasser Abinal di daerah Quiapo di Manila itu.

Jurucakap polis, Oscar Albayalde berkata, bom itu mungkin disasarkan terhadap Nasser yang juga bekerja sebagai pegawai percukaian kerajaan.

Ketika kejadian Nasser tiada di pejabat dan lokasi serangan terletak beberapa meter dari sebuah masjid di daerah itu.

“Ketika memberi keterangan kepada polis, Nasser mengaku pernah menerima ancaman bunuh sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Albayalde tidak memberitahu mengapa Nasser menerima ancaman bunuh.

“Ia mungkin berkaitan masalah peribadi, pekerjaannya atau agamanya,” katanya.

Bom itu diletakkan dalam satu bungkusan dan meletup ketika diserahkan oleh seorang pekerja syarikat penghantaran kepada pembantu imam Syiah itu yang menyebabkan kedua-dua mereka maut.

Menurut Albayalde, ketika polis menyiasat lokasi serangan, satu lagi bom meletup di kawasan berkenaan kemungkinan daripada bom yang dipasang sebelum itu.

“Kejadian ini tiada kena mengena dengan pengganas. Tiada petunjuk serangan dilakukan kumpulan militan sama ada tempatan atau luar negara,” tegasnya.

Tidak lama selepas serangan berkenaan, kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab.

“Lima penganut Syiah terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan bom oleh militan Daish di tengah Manila,” kata agensi berita Daish, Amaq.

Kata Albayalde, militan Daish diketahui sering mengaku terbabit setiap kali berlaku kejadian seperti itu.

Militan Daish pernah melancarkan serangan terhadap lokasi Syiah di beberapa negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:26 AM