RAMLI Junit.
RAMLI Junit.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas penyerang skuad Olimpik Malaysia 1980 Ramli Junit, 62, menggesa ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mengambil keputusan tepat ketika memilih barisan kepimpinan baru pada kongres ke-53 badan induk itu, 25 Mac nanti.

Katanya, tanggungjawab ahli gabungan amat penting dalam memastikan bola sepak Malaysia mampu berkembang selepas ketinggalan dalam banyak aspek.

Menurutnya, pemilihan kongres kali ini antara yang paling hangat dalam sejarah perkembangan bola sepak negara dan ia seharusnya tidak berakhir dengan kegagalan membuat pemilihan.

Beliau berkata, mereka harus menilai pemimpin yang benar-benar layak menerajui kepimpinan badan induk bola sepak Malaysia dengan menentukannya menerusi rekod, pencapaian, rangka strategi dan visi calon.

“Pertandingan terbabit dilihat sesuatu yang sihat berikutan perwakilan memperoleh gambaran berkaitan visi dan misi setiap calon ke arah masa depan bola sepak yang lebih cemerlang.

“Apa yang pasti saingan sengit terarah kepada perebutan jawatan presiden antara pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa. Walaupun ramai yang mahukan TMJ atau Annuar, kuasa mutlak nyata milik ahli gabungan,” katanya.

Baginya, pertandingan sengit juga berlaku dalam perebutan jawatan nombor dua membabitkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang juga penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah, Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Ramli berkata, walaupun peminat bola sepak boleh memperkatakan apa saja mengenai calon yang dimahukan namun hanya perwakilan yang mempunyai kuasa penentu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:12 AM