AKSI pemain NFDP pada kejohanan antarabangsa.
AKSI pemain NFDP pada kejohanan antarabangsa.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan sukan tempatan dan bersedia menyalurkan apa jua bentuk bantuan termasuk dana.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerjasama erat bersama kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kini diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan terus diperkukuhkan demi kemajuan bola sepak negara.

Sekalipun wujud desakan untuk menyerahkan program pembangunan akar umbi yang dikelolakan kerajaan seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) kepada FAM, Khairy menegaskan beliau sedia mempertimbangkan perkara itu.

“Saya amat teruja untuk bekerjasama dengan kepimpinan baru FAM terutamanya dalam aspek pembangunan. Ini masa yang tepat bagi peminat bola sepak negara melihat perubahan positif selepas ini.

“Kami (KBS) sedia untuk bekerjasama dengan FAM dalam semua aspek.

“Kami akan memberikan kerjasama terbaik demi pembangunan bola sepak negara. Maklumatnya boleh dibincangkan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penajaan Prudential Assurance Malaysia Berhad bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017, semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Tunku Ismail mempersoalkan semua program pembangunan akar umbi di bawah seliaan KBS termasuk program NFDP yang sepatutnya diusahakan badan induk bola sepak tempatan itu.

Malah, presiden baru FAM itu juga turut menyuarakan pandangan sekiranya KBS berhasrat untuk sama-sama membangunkan sukan paling popular itu, dana itu seharusnya disalurkan ke poket FAM bagi tujuan pembangunan.

Mengulas mengenai pucuk pimpinan baru FAM, beliau yakin Tunku Ismail mampu melaksanakan perubahan sekali gus meletakkan kembali Harimau Malaysia di mata dunia.

“Sokongan padu akan diberikan kepadanya selaku Presiden FAM. Saya fikir beliau mempunyai visi yang baik untuk masa depan bola sepak dan semua penggiat sukan Malaysia perlu menyokong dan memberi masa kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 6:22 AM