MEMAKAI jeans ketat nampak cantik tetapi jangan sampai memberi kesan kepada keselesaan dan kesihatan ibu mengandung. (Gambar hiasan)
MEMAKAI jeans ketat nampak cantik tetapi jangan sampai memberi kesan kepada keselesaan dan kesihatan ibu mengandung. (Gambar hiasan)
Hafiz Ithnin


"AKU masa mengandung anak pertama, perasaannya dua dalam satu. Gembira itu pasti sebab selepas 'bekerja keras' akhirnya berisi juga, kedua, sedih sebab baju-baju persis model sudah tak boleh sarung," kata rakan penulis sambil tergelak berkongsi pengalamannya kali pertama hamil.

Perbualan kosong itu dimulakan apabila penulis bertanya kepadanya mengenai sejauh mana teruja apabila dimaklumkan mengandung kali pertama selepas lima tahun berkahwin.

Dalam masa sama, rakan penulis juga berkongsi mengenai 'alahannya' melihat baju ibu mengandung selain tidak sabar untuk dibeli dan digayakan.

"Paling penting, walaupun aku 'buncit' gaya kena jaga. Kalau tidak menjeling lain pula laki aku tengok perempuan lain," katanya mengundang tawa lagi kami yang mendengarnya.

 JANGAN menjadi mangsa fesyen terutama ketika mengandung kerana tahap kesihatan lebih diutamakan. - FOTO Google
JANGAN menjadi mangsa fesyen terutama ketika mengandung kerana tahap kesihatan lebih diutamakan. - FOTO Google

Daripada perbualan itu, tercetus idea penulis untuk mendapatkan komen perunding fesyen, Faizal Hamid mengenai cara untuk wanita mengandung terus kelihatan bergaya dek perubahan fizikal itu.

Pakar itu berkata, wanita yang baru hamil terutama ketika di awal tempoh kandungan tidak perlu terburu-buru untuk membeli pakaian baharu memandangkan biasanya tidak terdapat perubahan fizikal yang mendadak terutama dalam tempoh tiga bulan pertama.

Beliau berkata, pemilihan pakaian yang selesa adalah perkara yang paling penting untuk ibu mengandung terutama mengetahui jenis fabrik yang tidak terlalu panas atau boleh mendatangkan alahan kepada kulit.

"Pemilihan fabrik penting kerana terdapat jenis yang panas sudah semestinya tidak sesuai untuk cuaca di negara ini. Selain itu, pemilihan kain jenis meregang seperti lycra atau cotton jersey juga disarankan kerana ia boleh dipakai dalam pelbagai peringkat usia kandungan.

RONA hitam antara warna pilihan yang menarik untuk dipakai. - FOTO Google
RONA hitam antara warna pilihan yang menarik untuk dipakai. - FOTO Google

"Saya juga menyarankan jangan menjadi mangsa fesyen pakaian yang sebenarnya tidak sesuai seperti menyarung skinny jeans semata-mata untuk meniru gaya orang lain, sedangkan anda tidak selesa yang akhirnya memberi kesan kepada emosi," katanya.

Jelas Faizal, ibu hamil juga sepatutnya perlu berbangga dengan kurniaan rezeki yang dilimpahkan pencipta kepada mereka dan tidak sepatutnya merasa ingin menyembunyikan perubahan bentuk fizikal.

Katanya, jika ada yang merasakan perubahan fizikal seperti bentuk badan sudah mula membesar terutama di perut, jangan merasa ia sesuatu yang memalukan sehingga memakai pakaian yang berlapis untuk menutup bahagian perut.

"Jangan pula bersifat terlalu menayang sehingga melanggar normal budaya sekeliling. Contohnya ke pejabat memakai pakaian yang senteng sehingga menampakkan tubuh anda. Bangga itu juga perlu berpada-pada ketika berpakaian.

KEMEJA lelaki bersaiz besar juga tampak menarik untuk disarung ibu mengandung. - FOTO Google
KEMEJA lelaki bersaiz besar juga tampak menarik untuk disarung ibu mengandung. - FOTO Google

"Meskipun di dalam konsep berfesyen tidak ada istilah tidak kena dan bergantung kepada keselesaan seseorang tetapi kita juga perlu menghormati persekitaran dan budaya setempat," katanya.

Beliau juga mencadangkan, membeli pakaian berwarna mudah padan polos seperti rona hitam, perang, kelabu, khaki, putih, denim atau warna semula jadi.

"Untuk menambah seri berpakaian rona polos, anda boleh gabungkan dengan sesuatu yang bercorak kerana ia boleh menjadi titik fokal dalam pemakaian.

"Contohnya, di bahagian dalam memakai kemeja dan palazzo berwarna polos, anda boleh sarungkan dengan jaket nipis bersaiz besar yang bercorak lebih menonjol tetapi tidak melawan rona polos di dalam supaya pemakaian anda lebih serasi," katanya.

Faizal berkata, wanita hamil juga boleh mengenakan kemeja besar terutama jika mempunyai suami berbadan lebih besar, boleh berkongsi ketika saiz perut lebih menonjol khasnya.

"Kemeja saiz besar atau mempunyai potongan badan lelaki yang bukan terlalu ketat sebenarnya juga cantik untuk dipakai oleh ibu mengandung kerana mempunyai ciri selesa untuk dipakai.

"Padankan dengan seluar yang besar atau skirt labuh lebih menonjolkan gaya jalanan yang santai dan selesa. Bagaimanapun, ia bergantung kepada tahap keselesaan anda untuk mengayakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 3:20 PM