LAMAN sesawang temu janji berkenaan.
LAMAN sesawang temu janji berkenaan.

Manila: Setiausaha Keadilan Filipina, Leila de Lima semalam memohon perintah mahkamah untuk menyekat akses laman sesawang temu janji Ashley Madison di negara itu atas alasan ia menggalakkan jenayah.

Katanya dalam satu kenyataan ringkas, Leila berkata, laman sesawang berkenaan membolehkan aktiviti haram dilakukan.

“Larangan mungkin akan dikenakan,” katanya.

Ashley Madison adalah laman sesawang menawarkan seseorang yang sudah berpasangan menjalin hubungan terlarang.

Ia berpangkalan di Kanada dan mempromosi perkhidmatannya dengan slogan “Hidup ini singkat. Jalinkan hubungan.”

Baru-baru ini Ashley Madison melancarkan laman sesawangnya untuk Filipina - sebuah negara yang didiami ramai penganut Katolik Roman.

Di Filipina, zina dan bersekedudukan boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan, manakala perceraian dilarang.

Akhbar tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 2,500 orang sudah mendaftar sejak laman sesawang berkenaan mula beroperasi.

Menurut Leila, syarikat telekomunikasi Filipina perlu memainkan peranan memastikan bahan terlarang tidak dapat diakses penduduk negara itu.

Singapura dan Korea Selatan sebelum ini telah mengharamkan Ashley Madison kerana menganggap ia boleh mengancam nilai kekeluargaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:06 AM