HARGA runcit RON 95 turun kepada RM2.26 seliter, RON 97 turun kepada RM2.46 seliter manakala diesel naik kepada RM2.23 seliter berkuatkuasa 1 Disember 2014. FOTO fail NSTP
HARGA runcit RON 95 turun kepada RM2.26 seliter, RON 97 turun kepada RM2.46 seliter manakala diesel naik kepada RM2.23 seliter berkuatkuasa 1 Disember 2014. FOTO fail NSTP
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Harga runcit baru bagi petrol RON95 ditetapkan pada RM2.26 seliter, diesel naik kepada RM2.23 seliter manakala RON97 pula turun kepada RM2.46 seliter berkuatkuasa mulai jam 12.01 tengah malam ini untuk sepanjang Disember.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga baru bahan api itu hanya berkuatkuasa bagi Disember dan kerajaan akan mengikuti perkembangan harga pasaran produk petroleum dan kadar tukaran mata wang semasa bagi menentukan harga runcit petrol dan diesel untuk bulan berikutnya.

Beliau berkata, sebelum ini, harga runcit bagi RON95 adalah RM2.30 seliter, diesel berharga RM2.20 seliter manakala RON97 ditetapkan RM2.55 seliter.

"Seperti sedia maklum bahawa kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 November lalu memutuskan bahawa penetapan harga runcit bagi RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal di mana kaedah sama digunakan bagi menetapkan harga runcit RON97 sejak Julai 2010.

"Selama ini, harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah mekanisma harga automatik (APM) sejak 1983 iaitu kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu di mana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, malam ini.

Bagaimanapun, katanya, menerusi kaedah pengapungan terkawal itu, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya iaitu jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit bagi RON97, RON95 dan diesel juga akan naik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 8:44 PM