ZII JIA mempamerkan aksi cemerlang sebelum tewas di tangan Momota. FOTO AFP
ZII JIA mempamerkan aksi cemerlang sebelum tewas di tangan Momota. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad Piala Thomas negara menamatkan aksi peringkat Kumpulan D sebagai naib juara selepas tumpas 1-4 kepada juara 2014, Jepun sebentar tadi.

Malaysia menurunkan barisan terkuat dengan Lee Zii Jia mengalas tugas perseorangan pertama bagaimanapun terpaksa akur kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momoto dalam pertarungan tiga set.

Zii Jia beraksi cemerlang apabila menang set pertama 21-15 namun tunduk dua set berikutnya 12-21, 21-23 dalam perlawanan yang memakan masa satu jam 20 minit.

Untuk rekod ia adalah pertemuan ketiga dalam tempoh dua minggu membabitkan dua pemain itu yang sebelum ini bertarung di Piala Sudriman yang menyaksikan Momota menang di peringkat kumpulan dan Zii Jia menang di separuh akhir.

Bagi Zii Jia dia mengakui sedikit kecewa dengan corak permainannya kali ini yang mana dia melakukan kesilapan tidak sepatutnya di mata penting.

Peluang negara untuk menyamakan kedudukan menerusi pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak kesampaian apabila tewas 13-21, 13-21 dalam tempoh 37 minit kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Cheam June Wei yang kini menghuni ranking ke-70 dunia turun sebagai pemain ketiga negara sukar menggugat kepantasan pemain keempat belas dunia, Kanta Tsuneyama apabila tewas 20-22, 13-21 dalam tempoh 49 minit.

Beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin pula tewas kepada Akira Koga-Yuta Watanabe 10-21,16-21.

Perseorangan ketiga negara, Leong Jun Hao mempamer aksi cemerlang apabila melakar kemenangan 21-19, 21-18 ke atas Kenta Nashimoto.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:14 PM