Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (lima kanan) bersama Rosnah (enam kanan) bergambar bersama penaja selepas pelancaran Hari BIM 2016, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (lima kanan) bersama Rosnah (enam kanan) bergambar bersama penaja selepas pelancaran Hari BIM 2016, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Kerajaan menimbang penggunaan Informasi Permodelan Bangunan (BIM) secara lebih komprehensif dalam projek pembinaan hospital awam.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya yakin penggunaan teknologi dan kaedah pembinaan moden BIM penting dalam menambah baik kecekapan pelaksanaan projek pembinaan di negara ini.

Beliau berkata, antara projek pertama kerajaan yang menggunakan BIM ialah projek Institusi Kanser Negara di Putrajaya dan pembinaan bangunan pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam.

“Pada masa ini kerajaan bercadang membina empat hospital awam mengguna pakai teknologi BIM dengan lokasinya di Kemaman (Terengganu), Pendang (Kedah), Maran (Pahang) dan Pasir Gudang, Johor.

“Projek yang kompleks memerlukan perancangan teliti dan kos pembinaan tinggi, namun dengan adanya penggunaan BIM, ia dapat mengurangkan pembaziran perbelanjaan serta tempoh pembinaan dikurangkan kepada tahap paling minimum,” katanya pada ucaptama di pelancaran Hari BIM 2016, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid.

Rosnah berkata, kerajaan optimis kaedah BIM berpotensi dijadikan sebagai pemangkin kejayaan inisiatif terbabit.

Menurutnya, fasa pelaksanaan pembangunan negara melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk tempoh lima tahun bermula dari 2016 hingga 2020 antaranya teras strategik 2, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat dan teras strategik 6.

Beliau berkata, teras itu mampu memberi penekanan kepada penyediaan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan sederhana dan isi rumah miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 6:57 AM