FADILLAH diiringi Ketua Eksekutif CIDB,  Datuk Asri Abdul Hamid (kiri)    merasmikan Pusat myBIM di Kuala Lumpur, semalam.
FADILLAH diiringi Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Asri Abdul Hamid (kiri) merasmikan Pusat myBIM di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Industri pembinaan negara dijangka mampu mencatatkan pertumbuhan lebih baik pada tahun depan melalui pelaksanaan pelbagai projek pembinaan sama ada daripada sektor awam dan swasta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya optimis industri itu mampu mencatatkan pertumbuhan satu angka yang tinggi, sekali gus terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Keyakinan ini turut diraih berdasarkan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang menyatakan industri pembinaan mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus kepada KDNK negara,” katanya selepas pelancaran Pusat myBIM di sini, semalam.

Pusat myBIM yang dibina oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan pelaburan RM3 juta itu akan memberi peluang kepada pemain industri menggunakan teknologi Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam mewujudkan model dan menvisualisasi projek pembinaan.

Beliau berkata, pertumbuhan 6.1 peratus boleh dianggap baik kerana angka itu masih tinggi dan melebihi pertumbuhan KDNK pada peringkat kebangsaan atau Malaysia.

Menurutnya, pertumbuhan positif industri pada tahun depan akan membabitkan semua projek awam dan swasta dalam kerja infrastruktur, pembinaan awam dan bangunan kediaman serta bukan kediaman.

“Untuk projek awam, kami jangka pertumbuhan industri pada tahun depan akan dipacu melalui projek seperti kerja menaik taraf sekolah di Sabah dan Sarawak, Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Persisir Pantai Barat dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, langkah kerajaan membekukan sementara projek pembangunan hartanah bernilai RM1 juta ke atas bertujuan mahu memberi masa kepada pemaju untuk mengkaji semula keperluan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:57 AM