TFC II muncul juara sulung Piala MFL musim ini.
TFC II muncul juara sulung Piala MFL musim ini.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerja keras barisan pemain Terengganu FC II (TFC II) sepanjang 90 minit permainan adalah kunci kejayaan pasukan itu apabila berjaya menundukkan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 dalam aksi final Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras, malam tadi.

Menurut jurulatih TFC II, Hairuddin Omar, pemainnya menunjukkan kesungguhan sepanjang aksi biarpun menyedari kelebihan dan kekuatan yang dimiliki lawan.

"Ini kali pertama saya menjadi ketua jurulatih dan pasukan berjaya mendapatkan piala. Pada awal perlawanan saya sendiri sedikit gugup kerana ini pengalaman baru untuk saya.

"Kalau kita lihat senarai kesebelasan utama JDT II, mereka mahu mencari gol awal. Mereka letak Oscar Arribas dan Endrick (dos Santos), tetapi kita berjaya mengekang asakan mereka malah kita mencipta beberapa peluang.

"Saya katakan kepada pemain jangan masuk ke bilik persalinan sehingga kamu menang perlawanan ini, Alhamdulillah pemain membalas permintaan saya," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam aksi kemuncak itu, jaringan tunggal Isa Raman di minit 89 sudah cukup memastikan skuad Penyu pulang dengan trofi, malah muncul pemenang sulung saingan itu.

Hairuddin juga akui turut gembira apabila ramai pemain TFC II berjaya 'dieksport' ke pasukan utama iaitu TFC yang beraksi di Liga Super musim ini.

Sementara itu, Isa yang ditemui selepas aksi itu akui tidak menyangka bola hasil kesilapan pertahanan JDT II akhirnya memberi peluang buatnya untuk meledak.

"Perasaan saya gembira dan tidak jangka dapat jaringkan gol. Saya memang 'plan' untuk terus rembat bola itu bila jatuh depan saya dan saya tujukan gol ini pada semua penyokong TFC dan keluarga saya yang hadir.

"Jurulatih cakap masuk dan beri 100 peratus serta suruh bantu pasukan untuk jaringkan gol dan saya bersedia ke skuad utama sekiranya dipanggil," kata Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 2:09 PM