Rosidi dan Siti Aminah melihat rumah mereka yang ranap dipukul ribut. FOTO Shahrizal Md Noor
Rosidi dan Siti Aminah melihat rumah mereka yang ranap dipukul ribut. FOTO Shahrizal Md Noor
Norul Awatif Romli

Padang Terap: Hampir 40 rumah di Kampung Pisang, Kampung Pong, Kampung Baru dan Kampung Padang Nyior, di sini, rosak akibat ribut, petang semalam.

Kejadian berlaku pada 6.30 petang mengakibat rumah milik 150 mangsa rosak teruk terutama atap akibat diterbangkan ribut, malah ada rumah yang ranap.

Mangsa rumah ranap, Rosidi Nyan, 40, dari Kampung Padang Nyior, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri Siti Aminah Hassan, 27, dan anak lelaki Muhammad Aiman, 7, tiada di rumah kerana keluar berjumpa rakan di Kuala Nerang.

Katanya, dia terkejut selepas mendapat panggilan telefon daripada rakan memaklumkan mengenai kejadian rumahnya ranap dipukul ribut.

"Sebak sebaik melihat rumah pusaka milik arwah ayah Nyan Ibrahim yang berusia lebih 60 tahun menyembah bumi.

"Walaupun bersedih namun saya bersyukur kerana ketika kejadian kami sekeluarga tiada di rumah. Mungkin pelawaan rakan untuk berjumpa di Kuala Nerang kira-kira jam 5 petang semalam ada hikmahnya," katanya.

Katanya, buat masa ini dia sekeluarga menumpang berteduh di rumah adik lelakinya terletak satu kilometer dari rumah sementara menunggu rumah baru dibina semula.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Padang Terap Kamal Fauzi Othman berkata, pemeriksaan awal dijalankan mendapati terdapat 37 rumah terjejas teruk, manakala sebuah rumah musnah 100 peratus.

"Bantuan segera berbentuk bencana kit sudah diagihkan kepada mangsa pagi tadi membabitkan tuala, kain pelikat dan barangan keperluan harian. Bantuan susulan membabitkan kewangan akan disalurkan pihak Pejabat Daerah dalam masa terdekat," katanya.

Dalam kejadian itu sebanyak 31 rumah di Kampung Padang Nyoir rosak, manakala Kampung Baru dan Kampung Pong masing-masing tiga rumah serta Kampung Pisang sebuah rumah.

Daripada jumlah keseluruhan itu sebuah rumah dilaporkan rosak 100 peratus dan sebuah kereta rosak akibat dihempap pokok selain 11 pokok tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 1:46 PM