RUMAH Rusnah ditimpa pokok akibat ribut di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
RUMAH Rusnah ditimpa pokok akibat ribut di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: "Saya sempat melaungkan azan ketika bumbung rumah tempat kami berlindung hampir terangkat sebelum pokok besar terbalik menimpa rumah," kata Che Mohd Amran Che Kamaruddin, 42.

Amran berkata, ketika ribut melanda sekitar 6.50 petang semalam, dia baru sampai ke rumah milik mentuanya di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, di sini, itu selepas balik kerja.

"Kami sekeluarga tinggal bersama mentua tetapi ketika kejadian semua tumpang berlindung di rumah keluarga kami yang bersebelahan rumah itu.

"Memang kami jangka pokok akan tumbang kerana ribut terlalu kuat dengan angin kencang. Pokok berusia 40 tahun itu tumbang akhirnya sehingga terkeluar akarnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ibu mentuanya, Rusnah Che Mat, 52, berkata, sepanjang tinggal di rumah pusaka milik keluarga sejak lebih 40 tahun, ia kejadian pertama rumah mereka ditimpa ribut hingga pokok tumbang.

"Saya tinggal bersama tujuh ahli keluarga lain termasuk suami, anak, cucu menantu. Walaupun rumah rosak teruk, saya bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Jika diikutkan rumah ini baru sahaja dibaiki hasil bantuan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tidak sampai dalam tempoh setahun," katanya.

WAN Nur Shahirah Aishah menunjukkan bumbung rumahnya rosak akibat ribut semalam. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
WAN Nur Shahirah Aishah menunjukkan bumbung rumahnya rosak akibat ribut semalam. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Harian Metro difahamkan, kira-kira 80 rumah di tujuh kampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut terjejas akibat ribut yang berlaku semalam.

Seorang lagi mangsa ribut, Wan Nur Shahirah Aishah Wan Mohamed, 27, berkata, ketika kejadian dia bersama suami serta dua anaknya sedang berehat di ruang tamu.

"Ketika ribut, rumah ini seakan dilanda gempa bumi dengan kipas bergoyang dan lantai basah dimasuki air hujan, masa itu kami bimbang rumah akan ranap.

"Suami segera mengarahkan kami keluar dari rumah menaiki kereta dan berlindung sementara di rumah jiran," katanya.

Dia berkata, lebih 80 peratus bumbung rumahnya tercabut akibat angin kencang.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dun Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, pihaknya sedia maklum mengenai 80 rumah dari tujuh kampung yang rosak akibat ribut semalam.

"Kami mengambil inisiatif membaiki rumah penduduk terbabit secepat mungkin bagi membolehkan mereka ada tempat berteduh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 3:15 PM