Ismail meninggal dunia ketika solat jemaah di sebuah masjid di Kuala Nerang petang tadi. FOTO Aizat Sharif
Ismail meninggal dunia ketika solat jemaah di sebuah masjid di Kuala Nerang petang tadi. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kuala Nerang: Seorang lelaki yang sedang menunaikan solat Asar berjemaah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas di sebuah masjid di Kuala Nerang petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa, Ismail Hamid, 69 bersama-sama 30 jemaah yang lain sedang menunaikan solat Asar di Masjid Darul Nadwah, Padang Nyior, Jalan Kilang Gula, disini.

Menurut seorang saksi, Noraldin Mustapha, 63 ketika jemaah yang lain termasuk dirinya selesai memberi salam, mereka ternampak Ismail masih berada dalam posisi sujud pada rakaat yang terakhir tadi.

"Allahyarham berada dalam posisi sujud pada rakaat terakhir solat Asar tadi di saf pertama dan apabila kami melihatnya tidak bergerak, kami terus memeriksanya kerana bimbang sesuatu buruk sedang berlaku terhadap dirinya.

"Apabila kami memegang Allahyarham, dia terus berada dalam keadaan terlentang sambil matanya terpejam dan nafasnya ketika itu dalam keadaan tercungap-cungap.

"Saya dan jemaah lain cuba memberikan pertolongan sambil memanggil namanya namun kira-kira lima minit selepas itu, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Jemaah yang melihat kejadian itu segera menghubungi ambulans dan Ismail dibawa ke Hospital Kuala Nerang sebelum kematiannya kemudian disahkan oleh doktor.

Noraldin yang juga bendahari masjid berkenaan berkata allahyarham yang sebelum itu mengadu pening kepada jemaah lain ketika mahu menunaikan solat Jumaat tetap mahu mengikuti satu sesi tazkirah yang diadakan selepas solat Jumaat itu.

"Allahyarham adalah penduduk di Kampung Padang Nyior dan dia selalu menunaikan solat berjemaah lima waktu di masjid ini.

"Malah, dia juga adalah seorang baik dan peramah namun pada hari ini, dia tidak banyak bercakap mungkin disebabkan dia sedang menahan sakitnya," katanya lagi.

Jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Setia, Kampng Padang Nyior, Kuala Nerang pada jam 10 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superitendan Ahmad Nasir ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasfikasikan kes sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 10:40 PM